Harimau Malaysia
Ketua Jurulatih Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee

PEMINAT bola sepak tempatan dirundung kekecewaan selepas melihat perjalanan skuad Harimau Malaysia tamat di peringkat kumpulan dalam kejohanan Piala AFF Suzuki 2016.

Kegagalan tersebut susulan skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee hanya mampu memungut tiga mata daripada tiga perlawanan untuk menduduki tangga ketiga dalam Kumpulan B.

Pencapaian menamatkan saingan di peringkat kumpulan pada kejohanan  dwi-tahunan itu mengulangi rekod sama yang dicatat pada 1998 di Vietnam serta 2008 yang dihoskan bersama oleh Indonesia dan Thailand.

Prestasi terumbang ambing Malaysia dalam kempen Piala AFF kali ini sebenarnya tidak mengejutkan kerana skuad kebangsaan bergelut untuk melakar keputusan positif dalam sembilan aksi persahabatan antarabangsa yang dihadapi sebelum ke Myanmar.

Daripada sembilan perlawanan tersebut, Harimau Malaysia hanya menang dua kali, seri lima kali selain tewas sebanyak dua kali dan ia jauh berbeza dengan  Vietnam dan Thailand yang mencatat keputusan positif dalam aksi persahabatan sebelum ke Myanmar.

Kepulangan awal skuad kebangsaan sudah pasti menjadi pengajaran berguna buat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk memikirkan kaedah merevolusikan bola sepak tanah air.

Buat permulaan, Kim Swee sudah boleh meletak jawatan secara terhormat susulan pemilihan pemain, strategi dan latihan yang dilaksanakan sudah tidak memberi kesan di persada antarabangsa.

Justeru, FAM perlu memikirkan semula pengambilan jurulatih import untuk skuad Harimau Malaysia memandangkan pencapaian jurulatih tempatan membuktikan bahawa mereka tidak mampu membentuk pemain-pemain menjadi lebih baik.

Bukan dipersoalkan kemampuan jurulatih tempatan tetapi idea mereka masih statik sedangkan prestasi pasukan serantau semakin meningkat.

Myanmar dilatih oleh jurulatih kelahiran Jerman, Gerd Zeise, Kemboja oleh Lee Tae Hoon (Korea Selatan), Indonesia oleh Alfred Riedl (Austria) dan Filipina oleh Thomas Dooley dari Amerika Syarikat.

Juara bertahan, Thailand, dibimbing oleh bekas penyerang kebangsaan, Kiatisak Senamuang, Singapura oleh bekas pemain antarabangsa, V. Sundramoorthy dan Vietnam oleh anak tempatan, Nguyen Huu Thang dan dibantu oleh jurulatih kecergasan dari Jerman, Martin Forkei.

Selain jurulatih, pemilihan pemain perlu lebih teliti memandangkan pasukan negara hanya memiliki pemain berpotensi dan tidak mempunyai pemain berkaliber di persada antarabangsa.

Justeru, bagi menyelamatkan maruah bola sepak negara, FAM perlu menilai semula cadangan pengambilan pemain naturalisasi sebagai salah satu langkah untuk meningkatkan prestasi skuad negara.

FAM perlu melihat pemain naturalisasi sebagai pilihan tambahan dan bukannya satu kemestian dalam skud negara.

Pengambilan pemain naturalisasi bukan sesuatu yang aneh dalam sukan antarabangsa tetapi ia memang sesuatu yang baharu dalam bola sepak tempatan.

Malaysia pernah memberi taraf kerakyatan kepada atlet terjun, Huang Qiang dari China, jaguh angkat berat kelahiran Indonesia, Hidayat Hamidon, penembak Ukraine, Irina Maharani dan atlet jalan kaki dari China, Yuan Yufang bagi membolehkan mereka mewakili negara pada Sukan Komanwel 1998.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin menegaskan kedudukan jurulatih Harimau Malaysia Datuk Ong Kim Swee kekal biarpun beliau gagal memenuhi Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) mengemudi pasukan layak ke final Piala AFF.

Namun, beliau berkata, ia juga tertakluk kepada keputusan Exco FAM jika mahukan perubahan selepas mendapat laporan mengenai prestasi skuad kebangsaan selepas ini.

“Exco FAM akan membuat keputusan apa saja jika mereka mahu. Mereka akan bermesyuarat kemungkinan Januari atau Februari depan dan di situ laporan daripada jurulatih Datuk Ong Kim Swee akan dibincangkan,” katanya semalam.

Hamidin yang juga pengurus pasukan berkata, Kim Swee yang dilantik pada Januari tahun ini masih memiliki baki kontrak setahun dengan dua misi lagi untuk diselesaikan iaitu membawa pasukan layak ke pusingan akhir Piala Asia 2019 dan menduduki ranking 140 dunia.

“Kontrak beliau hingga hujung tahun depan dengan Exco FAM memberikan tiga KPI, layak ke final Piala AFF gagal tapi ada dua lagi KPI untuk dicapai.

“Exco FAM yang meminta saya menjaga pasukan ini, jika Exco FAM tidak mahu saya meneruskan tugas ini saya OK. Saya cuma menjalankan tugas demi negara.

“Memang saya kecewa dengan keputusan ini, tapi kita kena akui kita tidak cukup bagus. Tapi, standard kita dengan pasukan lain sama, jika kita bertemu dengan Myanmar sekali lagi serta Indonesia selepas ini, kita boleh mengalahkan mereka kerana ada masa prestasi turun dan naik.

“Kita akan bangkit semula, kita akan menyusun perancangan lebih baik tahun depan terutama bagi menghadapi pusingan kelayakan Piala Asia 2019,” jelasnya.

LEAVE A REPLY