Harimau Malaysia

YANGON – Pengendali Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee menganggap Myanmar memiliki kelebihan kerana akan menentang Harimau Malaysia di hadapan penyokong sendiri dalam perlawanan penentuan hidup mati kedua-dua pasukan dalam kejohanan Piala AFF malam ini.

Dia turut mengakui kekuatan Myanmar yang dibarisi pemain-pemain muda dan pantas tetapi itu tidak bermakna Malaysia mengangkat bendera putih dan tidak berpeluang untuk meraih kemenangan seterusnya layak ke separuh akhir.

Malaysia mesti memenangi perlawanan terakhir peringkat Kumpulan B itu yang akan berlangsung di Stadium Thuwunna jam 7.30 malam waktu tempatan manakala Myanmar hanya perlu seri kerana memiliki kelebihan jaringan setelah kedua-dua pasukan terikat dengan tiga mata.

Vietnam yang akan bertemu Kemboja dalam satu lagi perlawanan, telah mengesahkan diri ke separuh akhir selepas me­ngumpul enam mata daripada dua perlawanan terdahulu.

“Kedua-dua pasukan memerlukan keputusan yang positif dan saya lihat Myanmar pasukan yang kuat kerana mereka dibarisi pemain muda dan apa yang mereka pamerkan dalam dua perlawanan sebelum ini menunjukkan mereka pasukan yang kuat.

“Tambahan pula, Myanmar beraksi di laman sendiri dan sudah pasti itu akan memberi kelebihan kepada mereka,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar pra perlawanan, semalam.

Katanya, dia berharap pemainnya dapat kembali segar secepat mungkin walaupun terpaksa melalui proses pemulihan yang kurang sempurna selepas menghadapi dua perlawanan pada pukul 3 petang.

“Sebenarnya kami tidak cergas sepenuhnya kerana sebelum ini kami bermain dua perlawanan pada pukul 3 petang tetapi kami melalui proses pemulihan dengan baik dan melakukan apa yang sepatutnya. Saya harap pemain kembali segar dengan segera,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Kim Swee mengakui dia tidak pasti sama ada dapat menggunakan khid­mat Mohd. Syazwan Zainon yang mengalami hentakan di lutut dan Ronny Harun (hamstring) untuk perlawanan itu.

“Keadaan Syazwan dan Ronny adalah 50-50 dan saya tidak pasti sama ada mereka boleh diturunkan esok atau sebaliknya. Bagaimanapun saya tidak risau jika mereka tidak boleh bermain kerana ramai lagi pengganti yang boleh diturunkan,” katanya lagi.

Kim Swee turut memaklumkan dia telah menerima panggilan telefon daripada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang memaklumkan mengenai keputusan kerajaan Malaysia yang membenarkan skuad kebangsaan beraksi menentang Myanmar.

“Saya terima panggilan daripada Menteri Belia dan Sukan yang meminta supaya semua pemain fokus dan melupakan isu yang boleh mengganggu fikiran mereka. Beliau turut mengharapkan agar kita dapat melakar kemenangan dengan Myanmar,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY