Thursday, December 8, 2016
Piala AFF Suzuki 2016: Harimau Malaysia Bangkit Benam Kemboja

Piala AFF Suzuki 2016: Harimau Malaysia Bangkit Benam Kemboja

68
0
Harimau Malaysia
Foto Laman Web Rasmi Piala AFF Suzuki 2016

YANGON – Datuk Ong Kim Swee tidak pasti apakah status sebenar ‘gol pelik’ Kemboja, namun mengakui pasukan itu memberi pe­ngajaran buat Harimau Malaysia selepas memaksa skuad negara mengharungi aksi mencemaskan sebelum menang 3-2 dalam perlawanan pembukaan Kumpulan B Piala AFF, semalam.

Dua jaringan mudah yang dilepaskan nyata tidak menggembirakan pengendali Harimau Malaysia itu, namun berjaya memulakan kempen dengan tiga mata yang diperlukan, berterima kasih kepada dua gol Mohd. Amri Yahyah dan jaringan Mohd. Syazwan Zainon cukup melegakannya.

Malah, kemenangan ini juga membolehkan Malaysia menamatkan badi enam tahun tanpa kemenangan dalam aksi pembukaan Piala AFF, sekali gus mencerahkan peluang ke separuh akhir.

“Saya tidak begitu pasti dengan gol pertama Kemboja dan perlu menonton rakaman video terlebih dahulu.

“Penolong pengadil mengangkat bendera untuk memberitahu ofsaid dan itu menyebabkan permainan terhenti seketika. Bukan pemain Malaysia sahaja, malah pemain Kemboja turut keliru.

“Bagaimanapun pengadil mengarahkan permainan diteruskan dan ini menimbulkan tanda tanya kepada pemain. Ya, saya fikir perlawanan hari ini banyak memberi pengajaran dan pengalaman berguna kepada pemain kita. Mereka perlu bermain mengikut wisel dan bukannya melihat kepada penjaga garisan,” kata Kim Swee.

Dalam aksi di Stadium Thuwunna, Kemboja mengejutkan Malaysia, yang turun dengan reputasi juara 2010 dan naib juara tahun lalu apabila membuka jaringan seawal minit ketujuh menerusi gol kontroversi Chan Vathanaka.

Vathanaka sudah berada dalam kedudukan ofsaid, malah penjaga garisan telah mengangkat bendera dan itu menyebabkan pemain negara memberhentikan permainan.

Namun, pengadil Abdul Baqi Yaqoob Said Abdullah dari Oman tetap meneruskan perlawanan dan membenarkan jaringan yang dihasilkan Vathanaka.

Jaringan itu bagaimanapun tidak mematahkan semangat pemain negara.

Skuad Harimau Malaysia yang tampil dengan imej baharu serba putih berjaya menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-37 selepas pemain sayap Kedah, Syazwan menyambut hantaran jauh Mohd. Irfan Fazail, sebelum menggelecek pertahanan lawan dan menewaskan penjaga gol mereka, Sou Yaty.

Walaupun Malaysia beroleh banyak peluang di babak kedua, namun Kemboja terlebih dulu mengejutkan pasukan negara dengan berada di depan pada minit ke-58, sekali lagi menerusi jaringan Vathanaka.

Kegembiraan mereka tidak bertahan lama apabila Amri menyamakan kedudukan pada minit ke-68, sebelum memastikan ke­mena­ngan dalam minit ke-80.

“Secara keseluruhan, aksi pa­sukan kurang memberangsangkan. Kami terpaksa bekerja keras untuk menang dan melepaskan dua gol mudah. Gol pertama lawan mengubah permainan kami dan pertahanan seperti hilang fokus,” kata Kim Swee lagi.

Kemenangan meletakkan Malaysia sebagai pendahulu Kumpulan B, berkongsi mata bersama juara 2008, Vietnam yang mengalahkan tuan rumah, Myanmar 2-1. – utusan

LEAVE A REPLY