Harimau Malaysia

Kejohanan bola sepak paling berprestij di Asia Tenggara, Piala AFF Suzuki yang dahulunya dikenali sebagai Piala Tiger telah bermula semalam iaitu 19 November dan kemuncaknya berlangsung pada 17 Disember 2016.

Kejohanan yang bakal menyambut ulang tahun ke-20 ini bakal menyaksikan negara Filipina dan Myanmar menjadi tuan rumah bersama.

Sememangnya cabaran dalam kejohanan edisi ke-11 kali ini adalah bukan tugas yang mudah bagi skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee. Masih ada lagi kelemahan pasukan yang perlu diperbaiki untuk mencapai sasaran selamat iaitu layak ke peringkat separuh akhir kejohanan.

Menyingkap sejarah dan perjalanan skuad negara dalam kejohanan yang diperkenalkan pada tahun 1996 ini  diakui agak menarik untuk dijadikan bahan bualan peminat-peminat tegar bola sepak tanah air.

Selaku gergasi di rantau Asia Tenggara berdasarkan siri kejayaan Malaysia dalam Sukan Sea, skuad Harimau Malaya kebiasaannya diletakkan sebagai pasukan pilihan, iaitu sekurang-kurangnya ke peringkat semi-final.

Skuad bimbingan jurulatih Wan Jamak Hassan telah meletakkan satu penanda aras yang agak tinggi apabila muncul selaku naib juara selepas tewas tipis 0-1 dengan Thailand pada edisi pertama di Stadium Kallang.

Zainal Abidin Hassan pula telah diangkat sebagai pemain paling bernilai dalam kejohanan tersebut manakala Wan Jamak Hassan dinobatkan jurulatih terbaik Asia.

Selepas itu, gara-gara tewas mengejut kepada Laos 0-1 di Sukan Sea Jakarta 1997, pengendali dari Johor itu meletak jawatan secara mengejut maka tiada lagi kesinambungan yang meyakinkan dari Harimau Malaya.

Harapan menggunung dari seluruh rakyat Malaysia untuk melihat peningkatan pasukan negara selepas itu terus hampa dan seperti ‘disumpah’ apabila misi Hatem Souisi, Abdul Rahman Ibrahim, Alan Harris, Bertalan Bicskei, Norizan Bakar dan B.Sathianantan masih gagal menjulang kejayaan.

Akhirnya muncul Datuk K. Rajagobal dengan membawa tonik dan penawar apabila berjaya menamatkan sumpahan tersebut dengan membawa Malaysia menjadi juara Piala AFF Suzuki 2010.

Edisi kelapan itu  menyaksikan Safee Sali muncul selaku pemenang kasut emas dengan lima gol.

Sebelum itu, beliau juga bertanggungjawab menamatkan kemarau selama 20 tahun pasukan Malaysia dalam memburu pingat emas di Sukan SEA.

Kelibat Dollah Salleh pula muncul dengan menggunakan gabungan pemain senior seperti Shukor Adan dan Indera Putra Mahyuddin dengan pemain sedia ada ketika itu dengan membawa Malaysia kembali ke pentas akhir.

Biarpun tewas kepada seteru utama Thailand menerusi agregat 3-4, prestasi pasukan Malaysia ketika itu harus dipuji. Malah, Safiq Rahim yang berperanan sebagai pengemudi bahagian tengah Harimau Malaya menjadi pemain kedua dari Malaysia berjaya memenangi anugerah Kasut Emas dengan enam gol.

Saban kali pertandingan yang diibaratkan seperti ‘Piala Dunia’ di rantau ini menjadi sasaran setiap jurulatih negara walaupun seluruh Malaysia mengimpikan aksi di pentas yang lebih besar seperti Sukan Asia, Sukan Olimpik, Piala Asia AFC mahupun Piala Dunia.

Persoalannya sekarang untuk edisi 2016 ini, adakah kita memiliki pasukan impian?

Nama-nama seperti Khairul Fahmi Che Mat, Fadli Shas, Ahmad Fakri Sharaani, Amri Yahyah, Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talha masih lagi berada dalam radar skuad Ong Kim Swee.

Ketiadaan perancang utama di tengah padang selain kepincangan yang ketara di pertahanan kiri diharap tidak akan menjadi igauan misi kali ini. Maka gandingan penyerang baru Darren Lok dan Ahmad Hazwan Bakri amat ditagih untuk membawa Harimau Malaysia melepasi peringkat kumpulan.

Perlawanan sulung Malaysia menentang Kemboja hari ini dilihat cukup penting kerana tiga mata awal perlu diraih sebagai bekalan bagi menghadapi Vietnam (23 November) dan tuan rumah, Myanmar (26 November).

Jersi baharu bakal dipakai, justeru semangat juang serta corak permainan yang kualiti wajib dipamerkan kerana penyokong-penyokong sentiasa di belakang Harimau Malaysia.

Kepada seluruh rakyat Malaysia, mari kita beri sokongan kepada seluruh pasukan Harimau Malaysia di Piala AFF Suzuki 2016.

Ini adalah penyatuan kita, lupakan seketika perbezaan fahaman politik masing-masing. Kita bukan kuning dan kita bukan merah. Kita adalah peminat bolasepak Malaysia. Ayuh! kita bersatu. Ayuh! Harimau Malaysia.

LEAVE A REPLY