Harimau Malaysia
Foto Utusan Online

KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaysia bakal tampil dengan wajah baharu pada saingan Piala AFF Suzuki 2016 di Yangon, Myanmar, Sabtu ini.

Jika sebelum ini skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee secara tradisinya menggunakan jersi berwarna kuning hitam dan biru sebagai pilihan jersi kedua, namun bagi edisi Piala AFF Suzuki kali ini mereka akan tampil dengan jersi berwarna hitam dan putih.

Jersi hitam akan digunakan sebagai jersi tuan rumah manakala putih adalah jersi kedua buat skuad Harimau Malaysia.

Pengenalan jersi baharu itu melengkapkan pembaharuan dalam skuad berkenaan selepas nama Harimau Malaya ditukarkan kepada Harimau Malaysia selain logo pasukan juga sudah ditukar pada September lalu.

Logo ciptaan Muhammad Amzar Mohamed, 22, menjadi pilihan 20,000 peminat yang membuat undian dalam talian daripada 2,000 penyertaan yang diterima bagi peraduan anjuran FAM itu.

Muhammad Amzar, berasal dari Subang Jaya, Selangor, adalah pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Grafik di Universiti Teknologi MARA (UiTM) kampus Puncak Alam, Selangor.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Affandi Hamzah, berkata logo itu juga akan digunakan dalam penghasilan produk atau barangan yang akan dikeluarkan khususnya yang berkaitan dengan pasukan kebangsaan termasuk jersi pasukan.

Sementara itu, pemain pertahanan Harimau Malaysia, Matthew Davies berharap penampilan serba baharu itu menaikkan lagi moral pemain terutama selepas meraih kemenangan 2-1 ke atas Papua New Guinea, semalam.

“Bagi saya ia satu perkara yang baik dengan pembaharuan ini. Malah, jersi baharu ini juga selesa untuk digunakan pemain,” katanya pada majlis pengenalan jersi baharu di Majlis Sukan Negara (MSN), di sini sebentar tadi.

Pemain tengah kebangsaan, Baddrol Bakhtiar pula yakin penampilan Harimau Malaysia kali ini bukan sahaja berbeza dari warna jersi, malah juga dari aspek persembahan di atas padang.

“Saya pati penampilan kami kali ini pasti berbeza. Ia mungkin faktor kecil tetapi bakal memberi kami lebih semangat,” katanya. Penyokong setia Harimau Malaysia boleh mula mendapatkan jersi itu dengan harga RM289.

LEAVE A REPLY