Saturday, December 3, 2016
Siapa Penyerang Harimau Malaysia?

Siapa Penyerang Harimau Malaysia?

59
0
Harimau Malaysia
Foto Utusan Online

KUALA LUMPUR : Pe­ngendali Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee mempunyai empat pilihan penyerang untuk mengetuai jentera skuad negara menjelang pertemuan pemanas badan dengan Papua New Gui­nea di Stadium Shah Alam, Isnin depan.

Daripada 26 pelatih yang dipanggil, Kim Swee memiliki empat penyerang iaitu Safee Sali, Norshahrul Idlan Talaha, Ahmad Hazwan Bakri dan Darren Lok sebagai pilihan untuk persiapan terakhir Malaysia sebelum berlepas ke Myanmar bagi mengharungi kejohanan Piala AFF, pertengahan bulan ini.

Jika dulu gandingan Safee dan Norsharul menjadi kekuatan Harimau Malaysia ketika menjuarai Piala AFF 2010, tetapi jurulatih kelahiran Melaka itu cuba mencari kelainan dalam membentuk kombinasi terbaik di bahagian serangan.

Menurut Kim Swee, pertemuan dengan Papua New Gui­nea akan digunakan sebaik mungkin bagi mencari gandingan terbaik yang akan mengisi kesebelasan utama di Myanmar nanti.

“Dia (Darren) telah menunjukkan aksi yang baik dalam sesi latihan tetapi sudah tentu saya harus memantau perkembangannya, terutama dalam pertemuan menentang Papua New Guinea.

“Malah, bukan hanya Darren tetapi Mat Yo (Norshahrul) dan Safee juga mempamerkan prestasi positif, saya mahu melakukan proses (pemilihan) secara menyeluruh.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, kami ada empat penyerang yang memiliki perbezaan keupayaan.

“Kalau mereka dapat kombinasi betul, saya percaya kami mampu melakukan banyak perkara bagus.

“Kami boleh memastikan pemain mampu ‘masuk’ dalam gawang mana-mana pasukan lawan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sesi latihan Harimau Malaysia di Wisma FAM, di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Kim Swee juga sedar kualiti pertahanan harus diperbaiki meskipun sebahagian besar peminat mahu menyaksikan pasukan negara mempamer corak agresif menyerang ketika menentang Papua New Guinea.

Kim Swee juga mengharapkan pemainnya mengekalkan berdisiplin ketika bertahan dan menyerang.

“Walaupun bermain agresif dan menyerang, namun kita tidak boleh tertumpu semata-mata kepada serangan.

“Pemain pertahanan juga perlu ada disiplin, jangan sampai penjaga gol pun nak jaringkan gol.

“Jadi, sekarang kita melakukan latihan-latihan menyerang, sebab semua pemain suka menyerang.

“Namun dalam perlawanan, semua pemain ini kena ada disiplin tinggi. Mereka juga harus tahu bagaimana henda bertahanan,” jelas­nya lagi.

LEAVE A REPLY