Harimau Malaya

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sedang mencari seorang jurulatih yang mampu memikul tanggungjawab mengendali skuad Harimau Malaya bagi jangka masa panjang dan boleh menerima tawaran gaji yang diberikan oleh persatuan itu.

Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, pihak persatuan sangat teliti dalam memilih pengganti Datuk Ong Kim Swee untuk mengemudi skuad kebangsaan itu.

Menurut beliau untuk memilih jurulatih tidak semudah membeli buku, kerana sekiranya jurulatih itu tidak cukup baik dan perlu digantikan, ia akan memakan belanja yang lebih besar.

Buat masa ini sudah ada satu calon dari Portugal dan ada lagi satu calon yang akan berjumpa dengan Tunku Ismail dalam beberapa hari lagi. Baginda juga tidak mahu bercakap banyak kerana perkara ini masih dirahsiakan…kita hanya boleh kongsikan dengan pihak media selepas perkara ini telah disahkan,” katanya menerusi catatan terbaharu dalam Facebook rasmi FAM, hari ini.

Hamidin berkata tawaran kepada bakal pengendali skuad Harimau Malaya itu tidak begitu tinggi kerana masalah kewangan persatuan itu, malahan Tunku Ismail terpaksa menggunakan duit baginda sendiri untuk menambah bajet bagi melantik dan mendapatkan jurulatih yang lebih berkaliber.

“Oleh itu, bersabarlah. Janganlah cepat sangat melenting. Kita perlu mendapatkan jurulatih untuk persatuan yang tidak ada duit dan Tunku Presiden sendiri membantu dengan menggunakan duitnya sendiri. Jadi silalah faham dan tunjukkan sikap profesional sedikit,” katanya. — BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here