harga barangan

FENOMENA harga barangan yang semakin meningkat hari ke hari bukan lagi satu ilusi.

Bagi golongan berpendapatan rendah yang gaji bulanan mereka hanya cukup-cukup untuk makan, kenaikan itu sudah pasti membebankan mereka.

Kenapa ianya membebankan?

Hal ini berlaku disebabkan kuasa beli semakin berkurangan kerana kenaikan gaji secara tahunan tidak dapat lagi menampung peningkatan harga barangan yang lebih cepat di pasaran.

Didapati, harga barangan keperluan dapur semakin meningkat dalam lingkungan 30 sehingga 50 peratus daripada harga sebelumnya.

Jika ada pun barangan lebih murah atau kekal pada harga biasa, sudah pasti akan terdapat kekurangan misalnya dari segi kualiti barangan yang dijual atau sudah hampir kepada tarikh tamat tempoh.

Kenapa fenomena kenaikan harga barang di negara ini terus berlaku?

Malaysia mengalami kenaikan berterusan kadar inflasi bagi Januari hingga Mac 2017 iaitu masing-masing pada 3.2 peratus, 4.5 peratus dan 5.1 peratus.

Inflasi adalah simptom ekonomi yang kurang sihat terutama bagi negara membangun seperti Malaysia dan perlu diberi perhatian wajar.

Inflasi menunjukkan peningkatan harga kumpulan barangan tertentu, menurunnya kuasa beli dan cabaran kos pengeluaran.

Adakah tiada usaha dari kerajaan untuk mengurangkan kadar inflasi?

Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan kadar inflasi pada Mac 2017 adalah 5.1 peratus iaitu meningkat dari 4.5 peratus pada Februari 2017.

Tumpuan kajian terhadap Indeks Harga Pengguna (IHP) mendapati penyumbang terbesar kenaikan harga barangan adalah segmen pengangkutan iaitu sebanyak 23 peratus.

Berdasarkan statistik ini, ternyata kenaikan kos pengangkutan penyumbang tertinggi IHP.

Apakah itu IHP?

IHP merupakan kaedah untuk mengukur atau menentukan kadar inflasi.

IHP mengukur harga purata barang-barang dan perkhidmatan yang biasanya digunakan oleh isi rumah pada tempoh masa yang ditetapkan.

Kenaikan harga barang juga berkait rapat dengan dasar transformasi pencukaian negara yang menghentikan subsidi bahan petroleum dan pengapungan harga lantas mendedahkan risiko turun naik harga yang sukar dikawal.

Selain kos pengangkutan, tidak dinafikan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) mengakibatkan kenaikan kadar inflasi negara dan secara tidak langsung menyebabkan kenaikan harga barangan.

Memang benar masalah kenaikan harga adalah perkara biasa dalam konteks negara yang mengamalkannya, di mana kadar inflasi akan meningkat pada tempoh tahun GST diperkenalkan.

Tetapi apa yang perlu dilakukan kerajaan bagi memastikan pengguna tidak terbeban dengan kenaikan harga barang?

Sebelum ini, ada wakil dalam pihak kerajaan menyatakan pelaksanaan GST tidak akan membebankan pengguna?

Tetapi apa yang berlaku sekarang?

Dalam situasi ini, amat penting kerajaan memantau dan melakukan penguatkuasaan terhadap peniaga yang menaikkan harga keterlaluan demi mengaut keuntungan berlebihan dengan menggunakan alasan GST.

Tindakan itu salah dan tidak betul kerana setiap pengeluar, pemborong, pembekal dan peruncit boleh membuat tuntutan dalam bentuk cukai kepada kerajaan.

Jadi tidak timbul isu pembekal perlu menaikkan harga barangan.

Para peniaga ini juga berani mencabar kewibawaan pihak penguatkuasa dengan menaikkan harga barangan kawalan, contohnya minyak masak selain menyorok barangan keperluan pengguna bagi melonjakkan harga di pasaran.

Para peniaga yang licik dan tamak ini wajar diberi kesedaran tentang tanggungjawab sosial mereka kepada rakyat, bukannya rakus mengaut keuntungan semata-mata.

Adakah dengan hanya menggunakan kuasa pengguna masalah ini akan dapat diselesaikan?

Sudah tentu tidak. Kerajaan perlu bertindak tegas bagi memastikan isu kenaikan harga barang ini tidak terus membelenggu rakyat di negara ini.

Adakah penggubalan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 berkesan?

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) seharusnya lebih proaktif dalam memanfaatkan akta tersebut untuk menyekat kenaikan harga barang.

Kenaikan harga barang kini ibarat pesta suka ria sehingga menggugat kehidupan harian pengguna.

Lawatan secara mengejut oleh pegawai yang bertanggungjawab hendaklah dilakukan dari semasa ke semasa untuk memastikan peniaga mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.

Tidak dinafikan terdapat kes di mana anggota penguatkuasa menyalahgunakan kuasa yang diberikan kepada mereka dengan menerima suapan bagi melindungi peniaga.

Selain itu, kekurangan dari segi bilangan anggota penguatkuasa juga menjadi punca penguatkuasaan lemah.

Oleh itu, sudah sampai masanya kerajaan melakukan usaha terbaik dalam memastikan pengguna tidak terbeban dengan kenaikan harga barang.

Bukan sahaja kadar inflasi perlu diturunkan, malah kerajaan perlu memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barang kesan pelaksanaan GST.

Jika tidak, isu kenaikan harga barang tidak akan selesai dan yang akan terus terbeban pastinya adalah rakyat sendiri.

Rakyat jangan disalahkan lagi jika isu ini menyebabkan akhirnya mereka membenci kerajaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here