Remaja
Gambar Hiasan - Foto oleh bercintaselepasnikah.my

Undang-undang Syariah perlu dipinda untuk mengelakkan remaja yang berumur di bawah 18 daripada berkahwin walaupun Islam tidak menetapkan had umur untuk berkahwin, kata bekas hakim Mahkamah Syariah.

Datuk Ismail Yahya, berkata demikian pada forum mengenai isu itu. Beliau berhujah bahawa Islam mentakrifkan “matang” dan “kebijaksanaan” sebagai prasyarat penting untuk berkahwin. Beliau menambah, ini menunjukkan bahawa Islam hanya menggalakkan perkahwinan bagi pasangan yang sudah matang.

“Tidak ada sebarang had umur untuk berkahwin dalam Islam, tetapi saya mencadangkan agar undang-undang Syariah diseragamkan untuk menetapkan had umur kepada 18,” kata Ismail.

“Ini adalah untuk mengelakkan sebarang komplikasi di masa hadapan yang mungkin timbul jika mereka (kanak-kanak) telah berkahwin pada usia muda, seperti masalah yang datang dari perceraian dan masalah kesihatan yang lain,” katanya.

Di Malaysia, umur minimum untuk berkahwin di bawah undang-undang sivil untuk kedua-dua jantina adalah 18. Perkahwinan yang melibatkan mereka yang di bawah umur memerlukan kelulusan daripada menteri besar atau ketua menteri.

Undang-undang Syariah pula menetapkan umur minimum untuk berkahwin bagi lelaki Islam adalah 18 tahun dan 16 tahun bagi perempuan Islam. Manakala remaja perempuan di bawah umur 16 tahun hanya dibenarkan untuk berkahwin dengan sekiranya mendapat kebenaran mahkamah syariah.

Memetik kes yang lalu, Ismail berkata, peruntukan yang diberikan kepada hakim Syariah berdasarkan budi bicara untuk membenarkan perkahwinan bawah umur sering menghasilkan keputusan yang buruk dan memudaratkan.

Beliau berkata, satu contoh adalah untuk membenarkan perkahwinan bawah umur disebabkan oleh hamil luar nikah dimana keputusan untuk memberi kebenaran berkahwin didorong oleh keperluan untuk mengelakkan stigma dan bukannya demi kepentingan remaja.

Ismail berkata ini adalah satu trend yang membimbangkan dan bertentangan dengan ajaran Islam sebagai agama tidak menggalakkan umatnya untuk berkahwin secara paksa.

“Kehamilan tidak boleh menjadi sebab untuk memaksa sesorang remaja itu berkahwin kerana banyak masalah lain masih akan muncul dari ini,” katanya, merujuk kepada kajian yang menunjukkan bahaya kesihatan mental dan fizikal terhadap kehamilan remaja.

Mengandung dan komplikasi melahirkan anak adalah punca kedua tertinggi kematian di kalangan remaja berumur 15 hingga 19 tahun di seluruh dunia. Kira-kira tiga juta pengguguran tidak selamat di kalangan kanak-kanak perempuan berumur 15 hingga 19 mengambil tempat setiap tahun, yang turut menyumbang kepada kematian ibu dan masalah kesihatan yang berkekalan, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Melahirkan anak diusia amat muda meningkatkan risiko untuk kedua-dua ibu dan anak mereka. Di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana, bayi yang dilahirkan oleh ibu-ibu di bawah umur 20 tahun berdepan dengan 50 peratus risiko lebih tinggi untuk meninggal dunia dalam beberapa minggu pertama berbanding mereka yang dilahirkan oleh ibu yang berumur 20-29.

Kes-kes perkahwinan remaja telah meningkat di Malaysia, terutamanya kes-kes yang melibatkan masyarakat Melayu Islam.

Hampir dua peratus daripada penduduk yang sudah berkahwin di negara ini merupakan pasangan yang berumur di bawah 19 tahun, menurut data Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa (Unicef). Konvensyen PBB mengenai Hak Kanak-kanak mentakrifkan mereka yang berada di bawah umur 18 tahun sebagai kanak-kanak.

Di Malaysia, terdapat berpuluh-puluh kes di mana mangsa rogol remaja dinafikan keadilan kerana mereka telah dipaksa berkahwin dengan perogol mereka, seperti kes yang melibatkan seorang remaja berusia 14 tahun baru-baru ini.

Dakwaan atas kesalahan rogol statutori terhadap Syukri Yusuf berusia 22 tahun, digugurkan selepas beliau berkahwin dengan mangsa.

Walaupun isu ini telah mencetuskan cadangan untuk undang-undang bagi menghalang perkahwinan remaja dan kanak-kanak, tetapi cadangan ini telah mendapat tentangan daripada pihak lain termasuk ulama konservatif.

LEAVE A REPLY