Saya membaca tentang Upacara Pelancaran Tukun Tiru to Reef (R2R) oleh Menteri Pertanaian Dato Shabery Cheek serta Presiden Pas Dato Seri Abdul Hadi dan ingin mengucapkan tahniah atas majlis tersebut. Saya juga berdoa semoga ini akan menyedarkan pihak berkuasa tentang banyaknya masalah nelayan tempatan dan janganlah menjadikan majlis tersebut semata-mata majlis simbolik yang tidak membantu nelayan dalam erti kata sebenarnya macam yang lepas-lepas. Saya juga berharap Menteri tidak menggunakan kehadhiran Presiden Pas untuk mengiakan kurang perhatian kerajaan sebelum dan selepas ini pada nasib nelayan yang sudah lama di abaikan.

Saya pernah berbahas dengan Menteri Pertanaian Dato Shabery Cheek di Parlimen tentang perlunya tindakan tindakan tegas lain di ambil selain dari hanya menyediakan tukun kerana ini sahaja tidak akan menyelesaikan masalah sebenarnya. Isu-isu lain yang perlu di beri perhatian ialah:-

Walaupun tukun akan menambah bilangan ikan di laut ianya sia-sia sahaja jika aktiviti nelayan Vietnam yang beroperasi secara haram dan mengunakan cara penangkapan ikan yang haram tidak di benteras. Sebenarnya tukun ini hanya membantu mereka mendapat tangkapan ikan yang lebih banyak. Nelayan tempatan terus kerugian melihat hasil ikan terus di kaut orang asing

Peruntukan minyak kapal ronda pihak berkuasa mesti di tambah kerana mereka tidak dapat mengadakan rondaan yang berkesan untuk membenteras aktiviti pencerobohan nelayan asing . Masalah minyak rondaan yang tidak mencukupi telah lama di bangkitkan.

Operasi kapal kargo secara haram memunggah ikan di tengah laut melanggar peraturan pihak berkuasa mesti di ambil tindakan tegas oleh pihak berkuasa kerana banyak ikan dibawa lari keluar ke negara jiran berhampiran.

Hukuman penjara yang tegas dan memusnahkan kapal nelayan asing yang menceroboh perairan Malaysia mesti di lakukan seperti di praktik kan oleh pihak berkuasa Indonesia. Hanyalah bersama dengan tindakan tindakan tersebut di atas akan program tukun akan mendatangkan faedah yang akan menguntungkan nelayan tempatan kita sendiri. Seperti saya katakan di perbahasan di Parlimen tempoh hari, kalau tidak tukun-tukun ini hanya akan membantu nelayan asing Vietnam dengan kapal yang lebih besar dan pukat tunda haram mereka mengaut keuntungan yang lebih besar sementara nelayan kita sendiri terus berputih mata.

Janganlah Kerajaan hanya melepaskan batuk di tangga dengan acara acara simbolik untuk pameran media akhbar dan tv sahaja.

Nasib nelayan sebenarnya masih tidak akan terbela tanpa “political will” – keazaman politik sebenar. Kerajaan hendaklah membela nasib nelayan yang sudah begitu lama terbiar dan merana di bumi Kuwait Malaysia, juga dikenali sebagai Terengganu.

Raja Bahrin Shah.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here