najib
Foto oleh FMT

KUALA LUMPUR: PAS menafikan dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad ia menyokong Datuk Seri Najib Razak hanya kerana keengganannya bersama Pakatan Harapan (PH).

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, dakwaan itu tidak benar kerana situasi kini juga terdapat ahli Umno yang menentang dan menolak kepimpinan Najib sebagai perdana menteri.

“Tak betul (tidak sokong PH bererti sokong Najib). Dalam Umno pun ada yang tolak Najib,” katanya sewaktu diserbu pemberita di Dewan Rakyat, hari ini.

Dr Mahathir yang juga pengerusi PPBM pada Sabtu di Konvensyen PH, membuat dakwaan sedemikan dan sekali gus sebarang kemungkinan PAS bergabung menentang Barisan Nasional (BN) dilihat musnah apabila menuduh PAS makan “dedak”.

images

Walaupun tidak menamakan mana-mana parti, namun PAS merupakan parti yang masih belum bersetuju menjadi sekutu pilihan raya dengan DAP, PKR dan Amanah bagi menentang BN.

Kata ahli Parlimen Marang itu, PAS tetap dengan pendirian mengambil jalan tengah iaitu tidak menentang atau menyokong mana-mana pihak secara semberono.

“Ada tempat kita sokong, ada tempat tidak sokong, bukannya bulat. Terpulang pada beliau untuk buat kenyataan (untuk Dr Mahathir membuat tuduhan),” katanya lagi.

Pakatan Rakyat yang menggabungkan PAS, DAP dan PKR terkubur tahun lalu selepas pertelingkahan secara terbuka antara PAS dan DAP dengan pemimpin parti Islam itu berkata parti itu tidak akan lagi bekerjasama dengan DAP.

DAP dan PKR membentuk PH dengan Amanah, yang ditubuhkan bekas pemimpin PAS.

Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin, parti yang ditubuhkan pada September, pernah cuba bergabung dengan PAS, dan berharap parti Islam itu akan menyertai pakatan mereka menentang Najib dan kerajaan BN.

Namun, Hadi berkali-kali menyatakan parti itu tidak akan mengulangi kesilapan bekerjasama dengan DAP.

LEAVE A REPLY