siti sarah
Cover image via @sitisarahraissuddin

Penyanyi Siti Sarah menafikan dia terkena sihir seperti didakwa segelintir pihak apabila pengsan sejurus selepas membuat persembahan pada minggu keempat program Gegar Vaganza musim ketiga (GV 3).

Sebaliknya, Sarah, 32, mengakui keadaan badannya yang lemah dan kekurangan tenaga adalah punca perkara itu terjadi.

“Tidak ada kena-mengena dengan perkara mistik. Apa yang disebarkan itu hanya cakap-cakap orang. Kalau nak tahu, ia berpunca daripada sikap saya yang lalai. Disebabkan terlalu sibuk, saya terlupa nak makan.

“Persembahan lagu duet bersama Rahmat Mega menerusi lagu Bunga Angkasa memerlukan tenaga yang banyak ditambah lagu itu bernada tinggi. Mungkin disebabkan saya berhabis dalam menyampaikan lagu itu menyebabkan saya pengsan,” katanya yang diberi rawatan biasa selepas itu.

Menurut penyanyi lagu Kesetiaan ini, dia tidak mahu mengambil pusing mengenai perkara yang diperkatakan tetapi lebih bimbang sekiranya dia kehilangan suara.

“Saya percaya perkara sebegitu memang wujud tetapi dalam pertandingan ini saya tak yakin ada yang sanggup berbuat sedemikian. Apa pun yang orang perkatakan saya tak nak ambil serius kerana apa yang lebih penting adalah suara saya,” katanya.

Sementara itu juri tetap GV3, Datuk Ramli MS menyifatkan tuduhan segelintir pihak terutama dalam kalangan peminat adalah mengarut.

“Jangan terlalu cepat nak mendengar atau percaya apa kata orang. Sebaiknya tanya terus kepada empunya diri. Seperti kes Sarah, apa saya boleh katakan dia kekurangan tenaga ketika menyampaikan lagu itu.

“Kalau nak tahu lagu itu susunan muziknya besar dan dia menyanyi sehingga nada yang paling maksimum. Ditambah dengan kondisi tubuhnya yang lemah menjadikan dia tidak mampu bertahan lama. Jadi tak mustahil dia boleh pengsan,” katanya.

Pada minggu keempat yang bertemakan duet, Sarah dilaporkan pengsan di belakang pentas sebaik dia selesai membuat persembahan.

Insiden itu sekali gus menimbulkan cakap-cakap mengatakan Sarah terkena sihir dan buatan orang yang dilakukan pihak tertentu.

Baca lagi: GV3: Kata Semangat Siti Nurhaliza buat Siti Sarah

LEAVE A REPLY