SARAWAK
Foto oleh FMT

KUCHING: Sasaran 90% guru kelahiran Sarawak berkhidmat di negeri itu menjelang 2018 dapat dicapai, apabila jumlah pendidik dari negeri lain berkurangan kepada 11.3% atau 4,738 orang.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Masyarakat negeri, Datuk Fatimah Abdullah Ting yang dipetik Borneo Post berkata, ketika ini, 88.7% atau 37,177 guru di Sarawak ialah penduduk tempatan.

“Pada Mei, angka itu mencapai 81%. Jadi, kita berada di landasan betul untuk mencapai sasaran 90% penduduk tempatan,” katanya.

Beliau sebelum ini mempengerusikan mesyuarat mengenai dasar 90:10 guru di pejabatnya.

“Kita masih mempunyai guru dari negeri lain, tetapi mereka tidak akan lebih daripada 10%,” katanya.

Fatimah yang turut memegang portfolio pendidikan berkata, majoriti guru dari Semenanjung Malaysia yang berkhidmat di Sarawak berasal dari Kelantan.

adenangurusarawak

Tahun lalu, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem mengumumkan inisiatif 90:10 susulan penurunan kuasa dari Putrajaya dalam 5 sektor, iaitu pendidikan, projek, pertanian, kebajikan dan perumahan.

Pada 26 Februari lalu, Fatimah mengumumkan rancangan itu ditetapkan sejajar Kementerian Pendidikan meluluskan permohonan 1,164 guru untuk kembali ke Semenanjung Malaysia.

Beliau dilaporkan berkata, nisbah guru kepada pendidik dari negeri lain pada Februari lalu ialah 77:20.

“Selepas pemindahan 1,164 guru dari Semenanjung Malaysia, kini tinggal 31,652 guru tempatan dan 8,173 guru dari negeri lain (di Sarawak),” katanya kepada Borneo Post, awal tahun ini.

LEAVE A REPLY