Guardian Health and Beauty Sdn Bhd (Guardian Malaysia) merancang untuk membuka antara 25 dan 30 kedai baharu pada tahun depan selaras dengan pelaksanaan pelan pengembangan untuk terus mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran runcit kesihatan dan kecantikan domestik.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Peter J Dove berkata selain pembukaan kedai baharu, syarikat akan turut membaik pulih 70 buah kedai dan menutup 15 kedai sedia ada yang kurang berprestasi.

Pada masa ini, Guardian Malaysia mempunyai 430 buah cawangan di seluruh negara dan meraih 30 peratus daripada bahagian pasaran dalam segmen kesihatan dan kecantikan.

“Di peringkat domestik, pasaran runcit semasa adalah sukar dan permintaan rendah. Kami melaksanakan penyelidikan dan menghasilkan konsep baharu, yang menyelaraskan produk dengan permintaan pengguna, dan kemudian melihat sambutan pelanggan,” katanya kepada Bernama selepas melancarkan kedai konsep Guardian di Kuala Lumpur City Centre.

Peruncit dalam subsektor farmasi dan penjagaan diri itu menjangka mencatat pertumbuhan sebanyak 11.4 peratus pada suku ketiga 2016.

Guardian Malaysia turut merancang untuk melaksanakan idea kedai konsep yang sama bagi 10 daripada 40 kedai utamanya di seluruh negara.

“Kami juga akan memperkenalkan dan menceburi e-dagang pada tahun depan untuk mencapai lebih ramai pelanggan,” katanya, yang enggan menyatakan jumlah pelaburan untuk membangunkan platform e-dagang yang baharu dan kedai konsep baharu.

Sementara itu, kedai konsep baharu itu menggabungkan ciri-ciri mesra pengguna termasuk sudut “Make Me Up”, yang menumpukan kepada memenuhi keperluan pengguna, menekankan trend dan produk kosmetik terkini, selain menawarkan bahagian untuk mencuba produk.

Guardian Malaysia juga telah memperluaskan rangkaian jenama tempatan dan antarabangsa yang baharu, pada masa sama menerajui inisiatif farmasi perdagangan moden yang pertama dengan senarai produk kesihatan herba Cina tradisional.

LEAVE A REPLY