guan eng
Foto oleh thecoverage.my

Banjir kilat di Pulau Pinang baru-baru ini boleh dielakkan jika projek-projek tebatan banjir kerajaan persekutuan siap pada masa, kata Ketua Menteri Lim Guan Eng hari ini.

Beliau bagaimanapun mengakui terdapat beberapa kelemahan dengan sistem saliran di negeri itu. Jabatan Pengairan dan Saliran negeri berikrar untuk mempercepatkan projek-projek tebatan banjir tersebut.

“Banjir kilat adalah satu cabaran baru dengan jumlah hujan yang luar biasa. Ia lebih teruk di negeri-negeri lain. Tetapi itu tidak bermakna kita akan melepaskan tanggungjawab kami.

“Kami juga mengakui terdapat beberapa kelemahan di JPS, kerana beberapa projek tidak dilaksanakan,” katanya.

Salah satu projek masih belum dilaksanakan walaupun selepas empat tahun, tetapi beliau melahirkan keyakinan bahawa Pengarah JPS negeri, Sabri Abdul Mulok akan dapat menyelesaikan masalah tersebut.

Beliau memberi jaminan kepada perwakilan DAP bahawa “banjir kilat semasa Deepavali lepas tidak akan berlaku lagi sehingga kerajaan persekutuan menyiapkan projek tebatan banjir mereka.”

Kenyataan Lim yang juga Setiausaha Agung DAP itu dibuat sebelum konvensyen DAP tahunan yang dihadiri seramai 300 perwakilan negeri.

Sabtu lalu, hujan lebat selama empat jam pada sebelah petang menyebabkan banyak sungai melimpah, yang seterusnya mengakibatkan banjir kilat di pulau itu.

Kawasan banjir dan kawasan-kawasan rendah terutamanya di kawasan Jalan P Ramlee, telah menjejaskan hampir 50 buah rumah akibat limpahan air dari Sungai Pinang. Buat pertama kali, Jalan Paya Terubong, Jalan Thean Teik, Taman Lumba Kuda dan Jalan Masjid Negeri juga turut dinaiki air.

Lim berkata, isu banjir kilat akan ditangani dalam bajet negeri bagi tahun 2017 yang akan dibentangkan pada 15 Nov.

Dalam pada masa yang sama, kerajaan negeri Pulau Pinang akan menggesa pihak kerajaan persekutuan untuk menyiapkan fasa akhir projek tebatan banjir Sungai Pinang bernilai RM350 juta, yang telah dimulakan pada tahun 1998.

Fasa pertama bermula pada tahun 1998 adalah untuk memperluaskan dan mendalamkan sungai dari muara Sungai Pinang ke jambatan Jalan Patani, dengan kos sebanyak RM6.45 juta. Fasa kedua pula antara jambatan Jalan Patani dan Dobby Ghaut telah dijalankan pada tahun 1999.

Fasa terakhir di bahagian hulu sungai yang melibatkan penambahbaikan kualiti air; serta memperluaskan dan mendalamkan sungai.

Fasa ini mengalami kelewatan kerana pihak berkuasa tempatan (PBT) terpaksa mengusir perumahan setinggan yang terletak di tebing sungai. Pada awal tahun ini pihak PBT berkata ia telah membelanjakan RM298,000 untuk meruntuhkan 161 struktur di tebing sungai sejak Disember 2013 dan RM4 juta dalam pembayaran ex-gratia kepada 223 penduduk.

LEAVE A REPLY