grab malaysia

Syarikat penyedia perkhidmatan Grab Malaysia hari ini berkata mereka akan mempercepatkan pelaksanaan penggunaan “butang panik” untuk kegunaan pengguna ekoran laporan ada pelanggannya mengadu dirogol pemandu.

Butang panik itu ketika ini hanya disediakan kepada pemandu syarikat perkhidmatan pengangkutan berkenaan.

Ia membolehkan penggunanya memaklumkan segera polis jika berlaku sebarang kecemasan.

Mengulas laporan seorang pemandu ditahan kerana dituduh merogol seorang wanita di Seri Kembangan semalam, Ketua Grab Malaysia, Sean Goh, berkata lelaki terbabit disingkirkan daripada perkhidmatan itu sepanjang siasatan polis berlangsung.

Katanya, kejadian itu juga amat dikesali Grab Malaysia.

“Berita itu amat menyedihkan dan keutamaan kami sekarang ialah untuk membantu dan memberi sokongan kepada penumpang terbabit dan keluarganya, serta membeirkan bekerjasama penuh kepada polis serta pihak berkuasa berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini

Terdahulu Bernama melaporkan polis menahan seorang pemandu GrabCar dipercayai merogol seorang wanita di dalam kereta miliknya di Bandar Putra Permai.

Semak latar belakang pemandu

Dalam operasi pukul 10 malam tadi, lelaki berusia 30 tahun itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Khas Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang di Sungai Buloh.

Ketua Polis Daerah Serdang ACP Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias, berkata lelaki berkenaan dipercayai merogol wanita berusia 29 tahun yang menggunakan perkhidmatannya pada pukul 4 pagi.

“Ketika kejadian, mangsa dalam keadaan mabuk dan tidak dapat melawan. Selepas itu suspek kemudiannya menghantar mangsa pulang ke rumah.

“Polis turut merampas pakaian serta kereta jenis Myvi milik suspek,” katanya.

Kata Goh, keselamatan penumpang dan pemandu Grab sentiasa menjadi keutamaan mereka.

“Saya minta maaf kerana kami dikecewakan pengguna dan masyarakat dalam hal ini, dan dengan rendah hati kami meminta penumpang dan pemandu memberikan kami peluang untuk terus meningkatkan keselamatan dan kebolehpercayaan perkhidmatan kami,” katanya.

Goh juga berkata ketika ini Grab melaksanakan saringan ketat terhadap bakal pemandunya, selain menyemak latar belakang rekod mereka sebagai langkah berterusan mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

Baca lagi: Pemandu GrabCar Rogol Penumpang Mabuk

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here