rossa
Cover image via Harian Metro

Artikel Rossa berkahwin kerabat? yang disiarkan had lalu, mendapat reaksi daripada penyanyi terkenal Indonesia, Datuk Rossa hingga berkongsi di laman sosial Instagram miliknya.

Rossa kesal dengan berita itu seolah-olah satu fitnah kerana tidak pernah bermesra dengan sesiapapun di hotel. Rossa juga mengakui kali terakhir ke Sarawak untuk membuat persembahan sempena Tahun Baru Cina.

Selebriti cuba mendapatkan penjelasan lanjut daripada penyanyi Ayat-ayat Cinta itu. Biarpun gosip itu hal biasa dalam bidang hiburan dan sering hinggap di kalangan selebriti, Rossa atau Rossa Roslaina Sri Handayani mengakui terkejut dan kecewa selepas membaca artikel itu.

Katanya, penyampaiannya seperti satu fakta sedangkan tidak ada satu buktipun yang ditampilkan dan menegaskan kejadian itu tidak pernah berlaku.

“Saya cuma khuatir ada yang akan berfikir negatif terhadap saya. Saya senang berkawan dengan sesiapa saja dan tidak mahu ia mengganggu hubungan baik saya dengan semua orang,” katanya.

Apa pun, Rossa bersyukur keluarga dan teman rapat tidak terpengaruh dengan gosip itu. Baginya, gosip itu walaupun belum tentu benar tapi andai dijadikan berita, ia pasti membuatkan semua pihak menerimanya sebagai perkara yang betul.

Penyanyi yang baru muncul dengan single Jangan Hilangkan Dia, pernah diusik soal kahwin sebelum ini. Malah sejak dulu dia juga sering digosipkan bercinta dengan penyanyi Afgan tapi turut ditepis dengan tenang.

Mengenai kemungkinan untuk mengakhiri zaman jandanya, ibu tunggal kepada Rizky Langit Ramadhan, 9, berkata, perkahwinan bukan hal utama saat ini dan dia berasa selesa untuk fokus pada kerjaya dan anak sahaja.

Selepas berpisah dengan bekas suami, Yoyo pada 2009, Rossa enggan terburu-buru untuk berkahwin.

“Saya tidak mahu menyesal di masa depan dan mahu gunakan masa yang diberikan Allah untuk berbakti kepada ibu bapa, anak, keluarga dan kerjaya.

“Biarkanlah soal jodoh itu terlebih dulu. Bukan saya tidak mahu berkahwin tetapi saya belum tahu bila hati akan terbuka semula,” katanya.

Rossa juga menolak untuk berkongsi mengenai kekasih hati atau bercerita mengenai jejaka yang merapatinya kecuali disahkan benar-benar berkahwin kelak.

Biarpun berkali-kali disoal mengenai hubungan mesranya dengan Afgan yang didakwa kekasih hati, Rossa tetap dengan jawapannya, mereka hanya kawan baik atau lebih tepat ibarat kakak dan adik.

Buat masa ini kata Rossa, dia sibuk dengan bisnes yang diusahakan dan turut berkongsi tip yang dapat membantu peminat yang mahu memulakan perniagaan.

Dia yang baru mengeluarkan jenama wangian Lahfah, La Vie En Rossa dan Beautiful, mahu lebih produktif dan muncul dengan idea baru.

“Apabila melakukan bisnes, perlulah sesuatu yang menjadi minat dan ia antara sebab saya membuka Diva Karaoke bersama rakan suatu ketika dulu. Malah kerana suka melihat reka bentuk rumah yang cantik, saya turut menjalani bisnes hartanah.

“Jika melakukan sesuatu yang disukai, kita akan berasa mudah untuk menjalankannya. Kita juga tidak mudah putus asa saat diduga,” katanya.

Rossa akui ketika belajar di kolej dulu pernah menjalankan bisnes pakaian terpakai (bundle). Dia membeli pakaian terpakai kemudian dicuci dan dijual semula hingga mendapat pulangan lumayan.

“Sebagai permulaan, lakukanlah bisnes secara kecil-kecilan. Selepas modal berjaya dikumpul, barulah buka bisnes yang kita sukai,” kongsinya.

Namun kata Rossa, modal juga tidak semestinya dalam bentuk wang tunai. Ia boleh juga dalam bentuk kemahiran dan pengetahuan dimiliki.

“Berbekalkan modal itu, saya hanya perlu mencari pelabur yang mahu bekerjasama dalam bisnes diceburi. Dalam Diva Karaoke, saya bukan pemegang saham terbesar melainkan rekaan pada cawangan pusat karaoke itu saja.

“Saya juga kena bijak bataskan penggunaan modal dan simpan separuh untuk persiapan masa depan. Selain itu, perlu juga pertimbangkan lokasi bisnes supaya ia mudah dicapai pelanggan,” katanya.

Rossa turut akui perlu menjaga nama baik produk dengan memberikan perkhidmatan terbaik dan memuaskan pelanggan.

Sebagai contoh usahanita berjaya, Rossa bersyukur sebab dapat memberi kehidupan selesa buat keluarga.

Disebabkan itu, dia senang menjalankan bisnes hartanah yang dianggap memberi pulangan lebih lumayan pada masa ini.

“Jika mahu bisnes mendatangkan banyak wang, hartanah paling tepat. Hasil keuntungan boleh digunakan untuk membeli hartanah lain dan disimpan.

“Berbeza dengan pengalaman lalu menjalankan bisnes restoran, ia tidak semudah itu. Kerugian bukan saja pada makanan yang tidak habis, malah modal pada kerusi meja yang akhirnya tidak lagi boleh digunakan,” kongsinya lagi.

Cuma masa ini, dia mahu fokus pada persediaan melancarkan rangkaian minyak wangi ke beberapa kota besar Indonesia.

LEAVE A REPLY