GoPro Karma

SAN MATEO (California) – GoPro semalam mengumumkan penarikan balik semua Drone GoPro Karma yang mula dijual sejak bulan lepas.

Syarikat itu berkata mereka memanggil balik kesemua kira-kira 2,500 drone GoPro Karma yang telah dijual kerana terdapat laporan mengenai kejadian di mana drone tersebut kehilangan kuasa secara tiba-tiba semasa penerbangan.

“Keselamatan adalah keutamaan kami,” kata pengasas GoPro dan Ketua Eksekutif Nicholas Woodman dalam satu kenyataan mengenai penarikan balik ini.

“Sebilangan kecil pemilik Karma telah melaporkan insiden gangguan bekalan elektrik semasa menggunakan drone tersebut.”

Saham GoPro menjunam lebih daripada sembilan peratus kepada US $ 9.88 (RM41.30) dalam pasaran berikutan pengumuman tersebut.

Syarikat tersebut memberitahu akan memberikan bayaran pulangan sepenuhnya. Mereka sedang dalam proses menyelaraskan panggilan semula produk ini dengan koordinasi bersama Suruhanjaya Keselamatan Produk Pengguna Amerika Syarikat dan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan.

Drone tersebut telah dijual pada harga US $ 799 seunit.

Tiada sebarang laporan kecederaan atau kerosakan harta benda daripada masalah teknikal ini, kata GoPro.

“Kami memohon maaf kerana telah menyusahkan pelanggan kami dan kami mengambil setiap langkah untuk membuat proses pulangan dan bayaran balik semudah mungkin,” kata Woodman.

GoPro memperkenalkan drone yang dinanti-nantikan dengan penuh harapan oleh peminat mereka dan dengan harapan untuk mengaut keuntungan yang lebih berbanding pesaing mereka.

Pelancaran penuh gemilang Karma itu, dimulakan dengan pengenalan kamera Hero5 yang telah diperbaharui.

Drone itu menampilkan joystick dan kawalan yang mudah menggunakan skrin sesentuh, yang dapat dilipat dengan mudah dan dimasukkan ke dalam beg yang disediakan.

Alat penstabilan imej yang direka untuk memegang kamera Hero, yang tidak termasuk dalam beg galas tersebut.

Masalah GoPro Karma berlaku di saat syarikat yang berpangkalan di California berusaha untuk membezakan dirinya dalam pasaran yang semakin kompetitif untuk kamera aksi mini, yang boleh digunakan untuk menangkap gambar pengembaraan atau sukan dari perspektif peribadi.

GoPro menjadi terkenal di kalangan peminat sukan lasak yang menggunakan kamera aksi mini untuk merakam aksi mereka, dan seterusnya berkongsi rakaman tersebut di YouTube dan rangkaian media sosial yang lain.

 

LEAVE A REPLY