intan sarafina
Cover image via Kosmo

AWAL kemunculannya di pentas Gegar Vaganza musim ketiga (GV3), nama Intan Sarafina langsung tidak disebut sebagai kelompok peserta yang bakal meloloskan diri ke peringkat akhir.

Apatah lagi, kehilangannya daripada radar industri muzik yang hampir mencecah tempoh lapan tahun turut menyebabkan kesungguhan Intan untuk meletakkan nama sebaris dengan peserta lain mudah dipandang sepi khalayak.

Namun, itu cerita tujuh minggu lalu, sewaktu jiwa besarnya masih tebal dililit rasa gementar dan bimbang. Kini, peningkatan prestasi pemilik nama lengkap Ungku Intan Sarafina Ungku Yahya itu dilihat berjaya mencuri perhatian ramai.

Saban minggu, lantunan suaranya ketika mendendangkan lagu-lagu tugasan tidak pernah gagal membeningkan rasa lega peminat. Pujian dan kritikan positif daripada juri juga menjadikan keberadaan Intan dalam pertandingan tersebut lebih utuh dan tegap.

Justeru, apabila namanya diumumkan sebagai salah seorang daripada enam peserta yang berjaya mara ke final GV3, kilauan penyanyi berusia 35 tahun itu semakin cerah merelang. Persis sebutir manikam yang siap dicanai, Intan bersedia untuk berentap.

“Jika ditanya perasaan saya apabila diumumkan sebagai salah seorang finalis, tentulah saya berasa sangat terharu. Sejak awal penyertaan, saya tidak pernah meletakkan sebarang harapan, apatah lagi untuk sampai sejauh ini.

“Bagaimanapun, saya berasa sangat bersyukur dan menganggap ia sebagai rezeki. Insya-Allah, saya akan gunakan peluang ini sepenuhnya dan cuba buat sehabis baik,” tutur Intan memulakan bicara.

Lebih utama buat anak jati kelahiran Johor itu pada konsert penentuan pada minggu hadapan adalah memastikan tahap konsistensi kualiti vokalnya.

“Memandangkan saya bakal menyanyikan lagu Lelaki Ini nyanyian asal Anuar Zain dan Kemelut Di Muara Kasih (Ziana Zain), kualiti vokal merupakan perkara yang harus dititikberatkan.

“Jadi, saya akan merujuk kepada guru vokal untuk lebih penekanan terhadap kawalan suara sepanjang sesi latihan,” katanya yang masih tidak mempunyai sebarang perancangan untuk gimik persembahan.

Underdog

Diajukan soalan mengenai jolokan underdog yang diberikan penonton, pelantun lagu Duhai Malam itu hanya tersenyum menguraikan tertawa kecil di bibirnya.

Tutur Intan, dia bukan sengaja untuk tidak bersungguh-sungguh pada peringkat awal. Cuma, jantungnya seolah-olah digoncang taufan gugup saat pertama kali menyanyi selepas hampir sedekad sunyi daripada lapangan hiburan.

“Istilah underdog itu tercetus kerana saya sudah lama tidak menyanyi. Selain gugup dan tidak mampu untuk menyanyi dengan baik, penonton juga tidak meletakkan sebarang jangkaan dan menganggap saya bakal tersingkir pada minggu-minggu awal.

“Tetapi, saya belajar dan memperbaiki diri dalam setiap persembahan. Alhamdulillah, berkat tunjuk ajar, teguran dan kritikan juri, saya berjaya sampai sehingga ke peringkat akhir,” katanya.

Mengulas mengenai sifat terbuka dalam menerima lagu-lagu tugasan setiap minggu, Intan berkata, potensinya sebagai seorang penyanyi dilihat semakin berkembang apabila membawakan setiap lagu tugasan pelbagai genre yang diberikan pihak penerbitan.

“Saya sentiasa positif dan fokus apabila diberi cabaran membawakan lagu-lagu berbeza setiap minggu.

“Kadangkala, kita tidak tahu potensi sebenar dalam sesebuah genre lagu sehinggalah menyahut cabaran dan menyanyikan lagu yang diberikan pihak produksi,” katanya yang tidak menyangka mampu menyanyi lagu bergenre rock seperti Penantian (Blackrose) dengan baik pada minggu ketiga.

Belajar

Melanjutkan bicara mengenai perkembangannya dalam GV3, Intan menyifatkan, prestasi mingguannya meroket naik bukan sahaja berpunca daripada usaha sendiri.

Kongsi Intan, kerja menggilap semula bakat yang telah lama pudar tersebut banyak dibantu oleh ketua juri iaitu Datuk Ramli MS.

Ramli atau Tok Ram yang bertindak sebagai pengarah muzik konsert mingguan sebenarnya banyak memberikan tunjuk ajar, terutamanya dari segi persembahan dan cara menyanyikan sesebuah lagu dengan betul.

“Saya sangat berterima kasih kepada Tok Ram yang tidak pernah jemu memberi nasihat sewaktu sesi latihan setiap minggu.

“Setiap kritikan dan teguran yang diberikan beliau, akan saya simpan sebagai panduan. Beliau merupakan figura yang sangat berpengalaman dalam muzik dan saya sangat mempercayai setiap kata-katanya,” ujar Intan lagi.

Ditebak dengan soalan, adakah Intan akan menumpukan sepenuh perhatian terhadap bidang nyanyian selepas berakhirnya GV3 nanti, ibu kepada tiga cahaya mata iaitu Megat Evan Raez, 7, Megat Israfel Raez, 5, dan Megat Noah Raez, 2, berkata: “Ya, saya sudah bersedia.

“Sudah lama saya merancang untuk membuat kemunculan semula dan kebetulan GV3 hadir sebagai platform dan bonus saya,” ujar Intan yang bakal merakamkan single baharu ciptaan Tam Spider tidak lama lagi.

Persaingan final

Bercakap soal prestasi Intan termasuk semua finalis GV3, Ketua Juri merangkap Pengarah Muzik GV3, Ramli MS berkata, setiap peserta yang terpilih ke peringkat akhir bakal memberikan saingan sengit.

Ramli bagaimanapun mengharapkan persembahan para finalis kelak selari dengan apa yang dipersembahkan pada sesi raptai.

“Sebagai pengarah muzik, saya bersama mereka selama tiga hari iaitu bermula pada Jumaat sehingga Ahad. Kualiti mereka pada sesi latihan selalunya lebih baik berbanding persembahan sebenar.

“Banyak faktor yang menyebabkan keadaan tersebut berlaku dan salah satu daripadanya adalah rasa gugup atau gemuruh. Harap mereka memberikan persembahan yang seiring dengan prestasi semasa latihan,” katanya yang cukup berkira soal markah apabila peserta menyanyikan lagu sendiri.

Ramli turut diajukan persoalan tentang Ameng yang bakal menyampaikan dua buah lagu sendiri (Bourgenvilla dan Romantis) secara medley pada malam kemuncak GV3 nanti.

Ditebak juga, adakah Ameng bakal kecundang sebagaimana diraih Nora dan memberi petanda awal tidak akan menjuarai GV3, beliau ada jawapan tersendiri.

Tegas Ramli, format penjurian beliau mengikut skala kesukaran dalam mempelajari sesebuah lagu pada setiap minggu.

“Ibarat bekerja separuh hari, gaji yang diberikan juga tidak penuh. Kami perlu berlaku adil dan memberi markah kurang kepada peserta yang menyanyikan lagu sendiri. Mereka tidak perlu bersusah-payah berlatih dan mengingati melodi berbanding yang lain,” katanya yang tidak teragak-agak meramal kedudukan terakhir buat Ameng pada minggu hadapan.

Konsert Akhir GV3 yang dijadualkan berlangsung Ahad, 4 Disember nanti bakal menyaksikan saingan sengit daripada enam peserta iaitu Intan Sarafina, Azharina, Zarul, Siti Sarah, Ameng dan Gmie.

Mereka merebut gelaran juara yang bakal pulang dengan hadiah wang tunai RM100,000 tajaan Qu Puteh.

Bersiaran secara langsung dari Dewan MBSA Shah Alam, Selangor, malam penentuan GV3 juga boleh ditonton menerusi saluran Astro Ria, pukul 9 malam.

Baca lagi: GV3: Markah Terendah, Gegaran Nora Terhenti

LEAVE A REPLY