Galaxy Note 7

Meskipun Samsung telah menggantikan Samsung Galaxy Note 7 di beberapa bandar di Korea Selatan, masalah yang berpunca daripada bateri masih berlaku. Sebelum ini, Samsung telah memanggil balik lebih 2.5 juta telefon pintar Galaxy Note 7 yang dijual di seluruh dunia ekoran terdapat masalah pada bateri peranti tersebut.

Menurut satu laporan di dalam rangkaian berita tempatan Korea Selatan, YTN, versi baru yang menggantikan Galaxy Note 7 sebelum ini turut menghadapi masalah yang hampir serupa. Rata-rata set gantian tersebut menjadi terlalu panas apabila digunakan, dengan kuasa bateri semakin kurang walaupun telefon tersbut sedang dicas. Seorang jurucakap Samsung memberitahu bahawa perkara tersebut adalah “kes terpencil”. Pihak Samsung bagaimana pun tidak mengesahkan jika isu yang sama telah dilaporkan dengan unit penggantian di negara-negara lain.

Samsung mula menarik balik Galaxy Note 7 secara global pada 2 September, ekoran banyak laporan mengenai kejadian letupan bateri peranti tersebut. Penarikan balik Galaxy Note 7, yang disifatkan sebagai telefon pintar premium keluaran syarikat berkenaan, telah memberikan imej buruk kepada syarikat berkenaan.

Di Amerika Syarikat sahaja, 92 kes telah dilaporkan dengan laporan kecederaan serius dan kebakaran. Pengguna di Florida pula melaporkan bahawa bateri Note 7 yang meletup telah membakar kar jip beliau, semasa dia meninggalkan telefon tersebut untuk dicas dalam kereta.

Pengguna Galaxy Note 7 juga telah dilarang daripada membawa telefon tersebut di dalam penerbangan. Di India, DGCA mengeluarkan amaran meminta para pengguna untuk tidak mengecas atau menggunakan Galaxy Note 7 mereka kerana potensi berlakunya kebakaran adalah tinggi. Penumpang juga telah di beri amaran untuk tidak menyimpan telefon mereka di dalam bagasi didaftar masuk.

Masalah Note 7 berpunca daripada bateri lithium-ion yang mempunyai kecacatan semasa pembuatan yang menyebabkan telefon tersebut terlalu panas dan dalam beberapa kes, telah menyebabkan ia terbakar apabila ditinggalkan untuk di cas pada waktu yang agak lama. Samsung telah mengeluarkan nota permohonan maaf di Amerika Syarikat dan di Korea Selatan sejak kemelut yang melanda Note 7.

Di Malaysia, Samsung Malaysia Electronics berkata ia akan menggantikan telefon pintar Galaxy Note 7 sebagai tindak balas kepada laporan Note 7 yang terbakar ketika sedang dicas. Note 7 masih belum mula dijual di Malaysia tetapi 4,000 unit telah ditempah melalui jualan pra-pesanan dalam talian dan jualan terhad melalui syarikat telekomunikasi.

[ Baca Juga : Note 7 Bakal Tiba Di Malaysia Ogos Ini ]

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here