Saturday, December 10, 2016
Tiada Lagi Formula Satu di Malaysia Selepas 2018

Tiada Lagi Formula Satu di Malaysia Selepas 2018

53
0
Formula Satu
Litar Sepang

KUALA LUMPUR – Malaysia tidak akan menganjurkan perlumbaan Formula Satu (F1) pada 2019 iaitu selepas kontrak penganjurannya tamat pada 2018.

Menteri Kebudayaan dan Pelancongan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, keputusan itu diambil berikutan kerajaan perlu membelanjakan sehingga RM300 juta bagi menganjurkannya sedangkan pulangan yang diterima tidak setimpal.

Katanya, sejak beberapa tahun kebelakangan ini jumlah kehadiran peminat F1 semakin merosot dan perkara tersebut bukan sahaja dialami di Malaysia tetapi juga seluruh dunia.

Jelasnya, kerajaan baru sahaja memperbaharui kontrak penganjuran F1 untuk tempoh dua tahun dari 2016 hingga 2018 dengan kos berjumlah RM1 bilion dan selepas itu tiada lagi penganjuran sukan bermotor berkenaan di negara ini.

“Mahal sangat, duit kita mengalir keluar negara banyak sangat, sangat mahal.

“Setiap tahun kita kerugian RM300 juta, dari segi penganjuran kita belanja kira-kira RM300 juta selain itu, duit kemenangan Grand Prix pun tiada lebih baik panggil pelancong China datang,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen di sini hari ini.

Mohamed Nazri menambah, apa yang lebih menyedihkan tiada pelumba negara menyertai F1 dan beliau berpendapat keputusan untuk menghentikannya adalah tepat.

Kata beliau, senario serupa tidak berlaku dalam perlumbaan MotoGP yang mana kehadiran penonton semakin meningkat saban tahun.

“MotoGP boleh, selain itu rakyat kita mampu memiliki motorsikal walaupun kapcai.

“Sekurangnya-kurangnya dalam masa 20 tahun kita lahirkan dua pelumba yang tidak kurang hebat.

“Sekurang-kurangnya ada pelumba kita yang menang dan salah satu sebab kita anjurkannya adalah kerana rakyat kita ada yang terlibat,” katanya.

Malaysia menempa sejarah sebagai negara Asia Tenggara pertama menganjurkan perlumbaan kereta paling berprestij dan berteknologi tinggi itu pada 1999, yang menyaksikan pemandu Ferrari, Eddie Irvine dari Britain muncul juara sulung.

Selain itu, Singapura turut mengumumkan tidak lagi mahu menganjurkan perlumbaan Grand Prix Formula Satu sebaik kontrak penganjuran tamat tahun depan.

Ecclestone memberitahu majalah sukan Jerman, Auto Motor und Sport, bahawa dia juga risau apabila Malaysia dan Singapura sedang menimbang kemungkinan menarik diri daripada menjadi tuan rumah selepas kejohanan 2018.

“Ya, memang benar Grand Prix Singapura memerlukan wang yang banyak, tetapi kami juga memberikan mereka pulangan yang besar juga. “Singapura percaya mereka sudah mencapai matlamat penganjuran sukan itu dan tidak perlukan sebarang perlumbaan grand prix lagi,” katanya.

Perlumbaan F1 sebelah malam di Singapura dianjurkan oleh Singapore GP, syarikat persendirian dimiliki oleh jutawan terkenal republik itu, Ong Beng Seng.

Bagaimanapun, jurucakap wanita syarikat berkenaan enggan mengulas mengenai isu berkenaan dengan membalas soalan wartawan dengan berkata: “Kami tidak mendedahkan perbincangan komersil yang sedang dirundingkan.”

Perlumbaan di Singapura paling glamor dalam siri GP F1 membabitkan perlumbaan di litar jalan raya kota berkenaan dengan penonton dihiburkan dengan persembahan artis terhebat dunia seperti Beyonce dan Justin Bieber.

LEAVE A REPLY