Final UCL

BUAT maestro Real Madrid, hanya bekas kelabnya, Juventus, menjadi pemisah  di antara dia dan sejarah bola sepak dalam final Liga Juara-Juara di Cardiff, awal pagi Ahad ini.

Baru berperanan ketua jurulatih selama hanya 17 bulan, bekas pemain perancang Perancis itu mampu tampil selaku pengurus pertama untuk menjulang trofi Liga Juara-Juara buat dua tahun berturut-turut.

Zidane turut mempunyai sumbangan dalam kejayaan kesembilan, ke-10 dan ke-11 Madrid di peringkat Eropah – selaku pemain, penolong jurulatih dan ketua jurulatih – dan perjuangannya untuk gelaran ‘Duodecima’ (ke-12) menemukannya dengan ‘kekasih lamanya’, Juventus.

“Saya bermain di Juventus selama lima tahun dan saya mempunyai memori indah daripada tempoh itu. Ia akan menjadi satu final yang istimewa,” katanya.

Menang ke atas pasukan musuh setempat, Atletico Madrid, dalam final 2014 dan 2016, Real sedang mengejar kejayaan ketiga dalam empat musim.

Tapi, persoalan utamanya, bagaimana seseorang boleh membolosi pertahanan dan pintu gol Juventus?

Dengan memperhalusi pendekatan bertahan dan kejurulatihan kedua-dua pasukan, ia berkemungkinan final Liga Juara-Juara, awal pagi Ahad ini, akan diputuskan butir-butir perincian kecil seperti diperturunkan oleh akhbar Marca:

PENJAGA GOL DAN PERTAHANAN:

Juventus: Buffon dan alternatif kepada BBC

Tembok pertahanan Old Lady adalah teka-teki paling penting yang perlu diselesaikan oleh barisan serangan Zidane.

Andrea Barzagli, Leonardo Bonucci dan Giorgio Chiellini, seiring dengan Gianluigi Buffon di pintu gol, menyumbang kepada sejumlah 2,449 perlawanan sebagai pemain bola sepak profesional.

Berupaya bergerak daripada tiga pemain belakang kepada empat pemain, mereka hanya bolos 30 gol dalam 50 perlawanan musim ini dan mereka telah menyeksa setiap penyerang lawan — trio MSN Messi, Suarez dan Neymar tidak terkecuali!

Real Madrid: Bertahan dari posisi tengah

Dengan Daniel Carvajal dan Marcelo menghabiskan sebahagian besar daripada 90 minit mara ke kawasan penalti lawan, ia tertinggal kepada Sergio Ramos dan Raphael Varane, seiring dengan Casemiro, Toni Kroos dan Luca Modric, yang bertanggungjawab membendung potensi serangan balas.

Dibandingkan dengan pertahanan mampat Juventus, penjaga gol Los Blancos, Keylor Navas, telah bolos 17 kali dalam 12 perlawanan Liga Juara-Juara.

JURULATIH

Massimiliano Allegri: Seorang penghimpun pelbagai model

Berikutan perpindahan Antonio Conte, Allegri menerima kritikan hebat pada awalnya sebelum meraih pencapaian besar di peringkat domestik dan Eropah.

Keupayaannya untuk mempelbagaikan beberapa taktik daripada 3-5-2 kepada 4-2-3-1, begitu juga 3-4-1-2, 4-4-2 dan 4-3-3, menonjolkannya antara jurulatih elit Eropah.

Zinedine Zidane: Pakar penggiliran

Mengurus masa antara pemain-pemainnya, jurulatih berbangsa Perancis ini telah pun menawan LaLiga dan mara ke final Liga Juara-Juara, dengan seramai 20 pemain bersedia untuk dibariskan dalam kesebelasan permulaan.

Dia tidak gentar untuk menukar taktiknya sebelum dan ketika perlawanan, dengan beralih daripada 4-4-3 kepada 4-4-2 atau 4-2-3-1 apabila diperlukan.

Dengan cara sedemikian, Zidane berupaya menerbitkan rasa puas hati pemain-pemainnya daripada segi jumlah minit beraksi di atas padang di samping memuaskan hati lembaga pengarah dengan mengemudi pasukan meraih pelbagai kejayaan.

Zidane, 44, telah memimpin pasukannya menjulang trofi LaLiga, dengan menamatkan kemarau kejuaraan domestik selama lima tahun, dan kejayaan lebih utama pada awal pagi Ahad ini, harus menyusul.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here