FGV

FELDA Global Ventures Holdings Berhad (FGVH) kini sedang mengalami pergolakan termasuk krisis dalaman dan usaha meningkatkan semula keyakinan pelabur terhadap konglomerat sawit terbesar di Malaysia.

Tempoh hari Pengerusi FGVH, Tan Sri Isa Samad mengumumkan langkah awal mengarahkan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Zakaria Arshad dan Ahmad Tifli Mohd Talha kerana disyaki terlibat dalam salah guna kuasa berkaitan urusan dagangan melibatkan anak syarikat FGVH, Delima Oil Products Sdn Bhd.

Isa dilaporkan memetik laporan firma audit terkemuka, PriceWaterHouseCoopers (PWC) yang mengesyaki terdapat elemen korupsi dalam urusan perdagangan berkenaan. Namun, Zakaria menafikan dakwaan Isa malah Zakaria juga dengan tegas dan terbuka membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta SPRM menyiasat FGVH secara keseluruhannya. Tindakan Zakaria ini nyata mencetuskan tanda tanya sama ada berlaku hal-hal kecurangan integriti dalam FGVH.

Walaupun saham FGVH kini mengalami ketidaktentuan, namun menurut penganalisis ekonomi, tindakan Zakaria secara terbuka membuat laporan kepada SPRM bakal memberikan sedikit kelegaan kepada pelabur mengenai keterbukaan FGVH dalam menyelesaikan kes berkenaan.

Berdasarkan kepada petunjuk awal, saham FGVH akan berada dalam keadaan tidak stabil untuk tempoh seketika dan penyelesaian konkrit adalah satu keperluan bagi memastikan saham FGVH dapat meraih semula keyakinan dan melonjakkan nilai di pasaran.

Apa yang berlaku di dalam FGVH mungkin boleh dilihat sebagai krisis kepimpinan dan berlaku hal-hal korupsi di dalamnya. Mungkin ada yang melihat kes seperti ini hanya memberi kesan kepada anggota korporat dalam FGVH, tetapi tidak kepada kelompok peneroka Felda di peringkat bawah. Namun, sesuatu perlu diingat peneroka Felda turut memiliki saham dalam syarikat ini dan kerugian yang sedang dialami FGVH juga merupakan kerugian kepada mereka.

Pengaturan keputusan ekonomi FGVH dengan memandang dari sudut keuntungan korporat semata-mata dan meminggirkan nasib dan keperluan warga Felda secara umumnya adalah langkah yang tidak wajar. Sehubungan itu, FGVH perlu meletakkan kepentingan peneroka Felda dahulu sebelum membuat apa-apa pertimbangan. Amat malang untuk warga Felda jika syarikat penting seperti FGVH mengalami isu salah tadbir dari sudut integriti dan korupsi.

Peneroka Felda merupakan di antara kelompok utama yang memberi dokongan kuat kepada Kerajaan sedia ada dan sebarang keputusan mengenai nasib FGVH perlu dilihat dari sudut kebijaksanaan politik dan sebarang silap percaturan kemungkinan boleh menyebabkan Kerajaan hilang kepercayaan dari warga Felda dan ini jelaskan akan merugikan Kerajaan dari sudut mata undi di waktu pilihan raya.

Parti pembangkang dan kumpulan pendesak pro-pembangkang juga dilihat amat berminat dengan isu ini dan sentiasa mengambil peluang untuk memberikan imej buruk Kerajaan kepada peneroka Felda dan isu yang berlaku kini merupakan peluang terbesar buat mereka.

Sehubungan itu, Kerajaan perlu segera memastikan isu integriti dalam pengurusan FGVH dapat diselesaikan dan langkah tegas dari Kerajaan terhadap individu-individu tidak bertanggungjawab dalam FGVH akan memastikan Kerajaan dilihat mementingkan nasib Felda dan penerokanya secara keseluruhan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here