FGV

UMUM mengetahui Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) kini sedang menghadapi permasalahan.

Bermula pada 31 Mei 2017, Pengerusi FGV, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad telah meminta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Zakaria Arshad meletak jawatan.

Perletakan itu diminta atas dakwaan Zakaria telah melanggar kod tadbir urus korporat, dengan meneruskan amalan biasa terma pembayaran tanpa surat kredit yang mengakibatkan kelewatan pembayaran daripada syarikat Afghanistan, Safitex.

Delima Oil Products Sdn. Bhd., anak syarikat Kumpulan FGV telah menjalin kontrak dengan Safitex bagi membolehkan syarikat itu menikmati kemudahan kredit atas semua jualan minyak sawit.

Kemudahan kredit itu dilaksanakan sebelum Zakaria dilantik sebagai CEO FGV lagi dan Safitex sendiri sudah berurusan dengan Felda selama 20 tahun.

Pada 5 Jun 2017, Zakaria menegaskan beliau tidak akan meletakkan jawatan sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV seperti yang diarahkan oleh Mohd. Isa.

Kenapa Zakaria enggan meletak jawatan? Ini kerana katanya tiada pelanggaran mana-mana kod tadbir urus korporat seperti yang didakwa.

Zakaria turut mengemukan tiga hujah;

1. Proses pembayaran dan syarat kredit kepada Safitex diluluskan dan diguna pakai oleh CEO sebelum beliau, yang membeli kelulusan kepada Safitex dengan syarat bayaran dan terma kredit selama 90 hari selepas produk dihantar.

Selain itu, Safitex adalah pelanggan Delima Oil selama 20 tahun dengan rekod kredit yang baik dan turut dikenali oleh Mohd. Isa secara peribadi dengan kedudukannya juga sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Delima Oil.

2. Kelewatan pembayaran juga berpunca daripada pemilik Safitex yang kini berdepan dengan masalah larangan perjalanan.

Pemilik Safitex kini berada di Afghanistan dan tidak dapat kembali ke Dubai sehingga akhir bulan ini (Jun 2017) bagi melaksanakan urusan bayaran kepada Delima Oil.

Pada masa sama, Delima Oil masih berusaha mendapatkan semua bayaran tertunggak, termasuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Safitex.

3. Sebagai Presiden/CEO sejak 1 April 2016, adalah sukar bagi beliau (Zakaria) untuk menguruskan semua anak syarikat Kumpulan FGV termasuk Delima Oil secara mikro dan secara keseluruhannya beliau tidak harus dipertanggungjawabkan dalam isu hutang tertunggak. Tambahan, jumlah tunggakan Safitex hanya 0.2 peratus daripada jumlah perolehan Kumpulan FGV.

Untuk rekod Zakaria dilantik ke jawatan tersebut pada 1 April 2016 menggantikan Datuk Mohd. Emir Mavani Abdullah.

Zakaria merupakan anak peneroka Felda Palong 1, Negeri Sembilan dan telah berkhidmat dengan Kumpulan Felda untuk lebih 32 tahun iaitu sejak 1984.

Pada 6 Jun 2017, FGV mengarahkan empat pengurusan kanannya termasuk Zakaria bercuti serta-merta bagi membolehkan siasatan dalaman dijalankan berhubung dakwaan salah laku urus niaga syarikat.

Selain Zakaria, tiga lagi individu terlibat ialah Ketua Pegawai Kewangan FGV, Ahmad Tifli Mohd. Talha; Ketua Pegawai Eksekutif FGV Trading, Ahmad Salman Omar dan Pengurus Besar Kanan Delima Oil Products Sdn. Bhd., Kamarzaman Abd. Karim.

Pada 6 Jun 2017, Zakaria meluahkan rasa hatinya ekoran keputusan Lembaga Pengarah syarikat itu yang mengarahkannya bercuti serta-merta.

Susulan daripada itu, Zakaria menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat keseluruhan operasi FGV termasuk sewaktu beliau masih belum menjadi Presiden dan CEO bagi merungkai sebarang permasalahan syarikat, termasuk isu yang mendorong pergolakan pentadbirannya ketika ini.

Pada 6 Jun 2017, Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad risau dengan kemelut FGV yang sepatutnya boleh ditangani jika ada wakil Felda di peringkat Lembaga Pengarah FGV.

Shahrir hairan mengapa permohonan Felda yang mahu menempatkan tiga wakil di dalam Lembaga Pengarah syarikat perladangan itu masih belum diluluskan, sedangkan Felda merupakan pemegang saham terbesar FGV.

Berikut merupakan rentetan isu yang melanda FGV sehingga mendapat perhatian rakyat terutama masyarakat Felda di seluruh negara.

Semua rakyat pastinya tertanya-tanya dan ingin mengetahui apa sebenarnya permasalahan FGV?

Jika dilihat kenyataan Mohd. Isa, beliau memaklumkan, siasatan masih dijalankan sehingga FGV berpuas hati.

Malah Mohd. Isa memberitahu tiada tempoh dan tiada isu lain kerana ia hanya membabitkan isu Safitex.

Tetapi, Zakaria pula menjelaskan, isu tunggakan bayaran oleh syarikat Safitex kepada Delima Oil Products Sdn. Bhd sengaja dibangkitkan.

Ianya bukan isu utama tetapi dijadikan alasan bagi menyingkirkannya.

Selain itu, turut dimaklumkan Zakaria, tunggakan itu yang hanya kira-kira 0.2 peratus daripada perolehan FGV, bukanlah isu besar sehingga cukup kuat untuk dijadikan sebab beliau dipaksa meletak jawatan, atau dipecat.

Zakaria percaya ada perkara lain di sebalik desakan peletakan jawatannya oleh Mohd. Isa yang berkemungkinan bersifat peribadi.

Tegasnya, ia hanya dijadikan penyebab selain bukan isu besar. Katanya, isu ini sengaja ditimbulkan supaya dia, sama ada ditekan untuk meletakkan jawatan atau dipecat.

Benarkah dakwaan Zakaria itu?

Jika benar hanya disebabkan isu tunggakan bayaran oleh syarikat Safitex, wajarkah Zakaria diarahkan meletak jawatan dan bercuti serta merta?

Jika bersifat peribadi, adakah selama ini terdapat permasalahan antara Zakaria dan Mohd. Isa di dalam FGV?

Mohd. Isa juga sewajarnya bercuti bagi membolehkan SPRM melakukan siasatan menyeluruh terhadap FGV.

Adalah tidak adil jika hanya Zakaria diarahkan bercuti tetapi tidak bagi Mohd. Isa.

Bersediakah Mohd. Isa untuk turut bercuti dan menyerahkan semua isu berbangkit kepada SPRM untuk disiasat?

Jika Mohd. Isa seorang pengerusi yang telus, beliau seharusnya berbuat demikian.

Kemelut yang melanda sedikit sebanyak pasti memberikan kesan kepada masyarakat Felda di seluruh negara.

Umum mengetahui, FGV ialah sebuah syarikat pertanian dan komoditi pertanian global yang berpangkalan di Malaysia.

Dengan operasi di seluruh dunia, FGV menghasilkan keluaran kelapa sawit, getah, kacang soya dan produk kanola, oleokimia dan juga produk gula.

FGV mula disenaraikan di Bursa Malaysia pada 2012 dan penyenaraian tawaran awam awal (IPO) syarikat ini merupakan yang kedua terbesar di dunia selepas Facebook.

FGV adalah syarikat ketiga terbesar kelapa sawit di dunia mengikut keluasan tanaman.

Di Malaysia sahaja, FGV mengawal lebih 850,000 hektar tanah, yang merangkumi 500,000 hektar secara kasar bahawa ia menyewa dan menguruskan untuk 112,635 pekebun kecil Felda.

Kewujudan FGV bukan sahaja memberikan kesan kepada lebih 100,000 warga peneroka malah 19,000 kakitangan syarikat berkenaan.

Jangan disebabkan kemelut yang melanda itu, nasib peneroka dan kakitangan FGV tergadai.

FGV seharusnya diberi kesempatan untuk membuktikan bahawa usaha-usaha yang sedang dijalankannya bakal membuahkan hasil seperti visinya untuk menjadi salah sebuah syarikat agrobisnes utama dunia menjelang 2020.

Warga peneroka dan kakitangan FGV tentunya meletakkan harapan tinggi kepada syarikat itu.

Pulihkan kembali FGV. Hanya itu yang dimahukan oleh peneroka dan kakitangan FGV.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here