afdlin shauki
Cover image via mole.my

“SAYA hormat identiti kebangsaan saya.” Demikian tegas Afdlin Shauki dalam status Facebooknya yang terbaharu berkenaan isu pengasingan kategori Bahasa Malaysia dan Bukan Bahasa Malaysia bagi Festival Filem Malaysia ke-28 (FFM28).

Status yang dimuat naik hari ini turut menyertakan respons Afdlin terhadap kenyataan presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) Datuk Yusof Haslam yang meminta beliau menghormati identiti kebangsaan.

“Saya orang Melayu Johor. Semua filem yang saya buat adalah dalam Bahasa Malaysia,” ujar pengarah filem Papadom itu.

Afdlin menegaskan dirinya sentiasa membawa nama Malaysia setiap kali terlibat dalam mana-mana acara seperti persembahan komedi, misi kemanusiaan dan festival filem antarabangsa.

FFM perlu berubah

Tambah Afdlin, senario dunia perfileman Malaysia sudah banyak berubah dengan penglibatan pembikin filem bukan Melayu.

“Sekarang negara dah ada pusat pusat pengajian tinggi yang mengajar media dan penyiaran. Lebih ramai rakyat Malaysia yang meminati bidang seni dan seni filem.

“Jadi, sekarang kita ada tambahan karyawan dari bangsa lain yang memasuki industri. Filem Malaysia berbahasa Cina pun boleh berbelasan juta kutipannya,” jelas Afdlin.

Beliau yang baru-baru ini membuat keputusan memboikot FFM28 turut menyatakan, para pembikin filem yang membuat filem bukan dalam Bahasa Malaysia juga berhak merasakan FFM sebagai festival mereka juga.

Raikan kepelbagaian

Pelakon filem Soal Hati ini juga berkongsi harapan agar wujud industri filem yang bersatu-padu.

“Usahakan dengan apa yang kita ada. Apa yang di depan mata kita, itulah yang kita gunakan untuk memacu kehidupan kita. Raikan kepelbagaian kita.”

Afdlin merupakan pemegang rekod pemenang terbanyak bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik FFM, iaitu tiga kali menerusi filem Soal Hati, Buli Balik, dan Papadom.

Rekod tersebut dipegang bersama dengan Eman Manan.

LEAVE A REPLY