felipe

Pelumba Formula Satu (F1) Brazil, Felipe Massa mengumumkan sebentar tadi yang dia akan bersara sebaik musim 2016 melabuhkan tirainya di Grand Prix Abu Dhabi pada 27 November depan.

Pelumba berusia 35 tahun itu, yang memulakan kariernya pada 2002, mengesahkan berita itu pada sidang media menjelang Grand Prix Monza, hujung minggu ini. “Saya kini berasa lebih gementar berbanding mahu memulakan aksi di garisan permulaan,” kata Massa, yang terlepas peluang meraih gelaran sulungnya kepada pelumba Britain Lewis Hamilton pada kempen 2008.

“Selepas 27 tahun karier perlumbaan saya, sejak saya mula beraksi dalam go-kart dan 15 tahun dalam F1, tahun ini akan menjadi musim terakhir saya dalam F1. “Kehidupan ini memberi kita banyak pilihan. Saya fikir inilah masa paling sesuai untuk saya melangkah pergi dan membuat sesuatu yang berbeza.”

Massa memulakan kariernya bersama Sauber sebelum berhijrah ke Ferrari pada 2006 dan kemudian ke Williams. Dia kini berada pada tahun ketiganya bersama Williams, selepas menyertai pasukan itu pada 2014, dan akan menandakan kemunculan ke-250 di garisan permulaan Grand Prix pada aksi perlumbaan di Abu Dhabi.

image via BBC

Massa, pemenang 11 Grand Prix itu berkata dia membuat keputusan untuk mengumumkan persaraannya di Monza kerana bekas rakan sepasukannya di Ferrari Michael Schumacher turut melakukan perkara sama pada 2006 untuk menyaksikan Massa bergandingan dengan Kimi Raikkonen pada kempen 2007.

LEAVE A REPLY