urus
Foto oleh FMT

LEMBAGA Kemajuan Tanah Persekutuan (Federal Land Development Authority – FELDA) merupakan projek pembangunan tanah dan penempatan semula dengan objektif pembasmian kemiskinan melalui penanaman komoditi sawit dan getah. Idea penubuhan FELDA dicetuskan oleh Bapa Pembangunan Negara, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein bagi meningkatkan taraf ekonomi Bumiputera menerusi pelaksanaan projek-projek pembangunan tanah dan aktiviti pertanian, perindustrian dan komersial sosial ekonomi.

Sejak penubuhannya dari tahun 1956, FELDA telah melalui pelbagai proses transisi bagi memastikan ia kekal relevan dan meningkatkan daya saing dalam menghadapi situasi ekonomi yang semakin kompetitif.

Sewaktu sambutan Hari Peneroka FELDA 2016 Peringkat Kebangsaan yang berlangsung baru-baru ini, kerajaan mengumumkan cadangan untuk melakukan penambahbaikan terhadap tadbir urus FELDA. Pelbagai aduan berkaitan isu warga peneroka akan dibincangkan dengan lebih teliti dalam ‘Makmal Pemantapan Felda’ yang rumusannya akan diumumkan dalam tempoh terdekat. Langkah kerajaan ini disifatkan sangat bertepatan di kala FELDA dihimpit dengan pelbagai masalah dan kontroversi.

Isu-isu seperti kejatuhan nilai saham, kejatuhan komoditi sawit dan getah, pinjaman sara hidup, perumahan bagi generasi kedua FELDA, pengurusan ladang yang tidak cekap, perjanjian tanam semula dan peneroka tidak menerima bayaran hasil tuaian sedikit sebanyak telah mencalarkan imej FELDA yang diiktiraf sebagai agensi pembangunan tanah paling berjaya di dunia.

download

Perkembangan terbaru ini sangat mengejutkan dan tidak sepatutnya berlaku terhadap syarikat konglomerat negara. Para penganalisis berpandangan bahawa isu dan permasalahan yang dibangkitkan oleh warga FELDA tidak boleh dipandang ringan dan memerlukan penyelesaian dengan kadar segera. Seandainya masalah ini berlarutan, ia bakal mengundang persepsi tidak baik terhadap pengurusan FELDA di bawah pentadbiran Tan Sri Isa Abdul Samad sejak tahun 2011.

Malah, terdapat gesaan daripada Pertubuhan Generasi Warisan Kebangsaan (Generasi) agar pihak kerajaan bertindak segera dengan mengubah tampuk kepimpinan FELDA sebelum keadaan menjadi lebih parah. Ini kerana kepimpinan sedia ada dikaitkan dengan masalah tadbir urus yang kurang cekap. Pengurusan FELDA turut dibidas kerana ‘terlalu asyik’ menguruskan hal ehwal kelab bola sepaknya dan membuat banyak pembelian tanah perladangan dan perhotelan di dalam dan luar negara pada ketika warga FELDA bergelut dengan pelbagai masalah.

486801_heroa

FELDA sepatutnya memikirkan kaedah terbaik bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi para peneroka. Mungkin semua masalah tersebut tidak dapat diselesaikan dalam sekelip mata namun sekurang-kurangnya ia dapat diminimumkan. Pastinya usaha FELDA itu amat dihargai oleh warganya dan membuktikan bahawa ia bukan sekadar berjanji kosong.

Tindakan yang diambil oleh FELDA dalam menangani permasalahan yang berlaku berupaya menangkis pelbagai tuduhan yang dilemparkan terhadapnya. Tidak keterlaluan jika dikatakan tuduhan berbaur fitnah oleh pihak-pihak yang berprasangka buruk terhadap FELDA merupakan sebahagian dari cubaan menyerang agensi ini yang dilihat menjadi kubu kuat kerajaan dan parti pemerintah.

FELDA juga sedang menghadapi cabaran membimbangkan kerana usia peneroka yang semakin lanjut dalam kawasan rancangan tanah. Peneroka asal FELDA tidak lagi mampu bekerja kerana terlalu tua manakala generasi muda di rancangan itu tidak berminat untuk mengambil alih pekerjaan ibu bapa mereka dan lebih selesa berhijrah ke bandar untuk mencari pekerjaan.

Selain masalah peneroka semakin berumur, apa yang lebih membimbangkan ialah aktiviti penagihan dadah yang semakin menular dalam kalangan belia FELDA. Masalah penagihan dadah di tanah rancangan sebenarnya bukan berpunca daripada masyarakat peneroka tetapi pengaruh dan pengedarannya dilakukan oleh orang luar. Tahap kesedaran yang rendah dan usaha pemantauan yang lemah telah menyebabkan penagih dan pengedar dadah bebas keluar masuk ke tanah rancangan seterusnya mempengaruhi remaja dan belia FELDA terjebak dengan gejala itu.

Penyelesaian kepada isu dan masalah yang membelenggu FELDA perlulah disertai dengan iltizam yang bersungguh-sungguh. Seandainya terdapat keperluan bagi pihak kerajaan melakukan rombakan secara besar-besaran, FELDA perlu menerima hakikat tersebut demi kebaikan semua pihak. Penyusunan semula FELDA sama sekali tidak bermaksud menafikan fungsi agensi itu dalam pembangunan tanah rancangan sejak sekian lama. Ianya lebih kepada penambahbaikan terhadap tadbir urus FELDA untuk meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat peneroka termasuk generasi baru FELDA ke tahap yang lebih baik.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here