fattah amin
Cover image via Berita Harian

Pelakon terkenal, Nur Fazura Sharifuddin, meramalkan gandingannya dalam drama bersiri, Hero Seorang Cinderella, Fattah Amin, bakal menang besar pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 3.0.

Malah, Fazura, 33, berkata bukan sesuatu yang mustahil andai Fattah, 26, dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular, iaitu kategori utama pada anugerah itu berdasarkan populariti diraihnya ketika ini.

“Saya meramalkan Fattah akan menang besar pada malam kemuncak ABPBH 3.0 nanti kerana dia mempunyai ramai peminat yang sayangkan dirinya.

Jenama Fattah Amin sangat kuat saat ini. “Kalau dia menang pun memang patut kerana Fattah banyak melalui pelbagai dugaan sebelum ini.

“Saya juga pernah kata pada Fattah, jika kemenangan berpihak kepadanya, itu semua rezeki dan berkat kesabaran serta sikap redanya atas segala yang terjadi sebelum ini,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran single Nothing Like Pag Ibig di sebuah pusat beli-belah terkemuka di sini, hari ini.

Single itu disampaikan Fazura secara duet dengan penyanyi terkenal Filipina, Jason Dy. Artis yang dikenali sebagai Raja R&B Filipina itu turut hadir untuk memeriahkan lagi acara promosi lagu berkenaan.

Pada ABPBH 3.0, Fattah dicalonkan dalam kategori utama, Pelakon TV Lelaki Popular, dan dua kategori online, masing-masing Artis Sensasi dan Gandingan Serasi Dalam Drama.

Fazura berkata demikian ketika mengulas dakwaan nakal sesetengah pihak yang mengatakan aktor tinggi lampai itu cuba menumpang populariti pelakon wanita yang digandingkannya demi kepentingan peribadi.

Dalam perkembangan lain, Aktres Terbaik Festival Filem Malaysia ke-27 itu memberitahu, beliau dan Fattah akan merakamkan sebuah lagu tema bagi menghiasi drama lakonan mereka.

“Lagu dan lirik adalah hasil ciptaan Aizat Amdan. Judulnya pula sama dengan tajuk drama lakonan kami. Saya sudah pun mendengar melodinya dan ia sebuah lagu yang mudah menangkap pendengaran peminat.

“Sekarang, kami sedang mencari masa yang sesuai untuk memasuki studio bagi merakamkan lagu terbabit,” katanya.

Baca lagi: “Saya Bukan Adele atau Beyonce” – Fazura

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here