Farid Kamil
Cover image via @dianadanielleb

Hujan tidak, ribut pun tiada, tiba-tiba sahaja peminat dunia hiburan dikejutkan dengan keretakan bahtera rumah tangga pasangan selebriti popular, Farid Kamil dan Diana Danielle.

Lebih mengejutkan aktres yang bakal muncul dengan filem Hanyut pada 24 November nanti itu telah membuat pengakuan hadir ke mahkamah syariah bersama peguam untuk menyelesaikan mahligai perkahwinan mereka yang baru mencecah usia empat tahun.

Bertemu dengan Diana, 25, dan Farid, 35, pada majlis Anugerah Skrin 2016 (ASK2016) pasangan yang memiliki dua orang cahaya mata itu, Muhammad, 3, dan Nur Aurora, setahun, bagaimana pun terlihat bahagia.

Membuktikan bahawa rumah tangga mereka tidak bermasalah, sehari selepas ASK2016, pasangan itu meraikan ulang tahun pertama Aurora bersama-sama.

Apakah perasaan Farid apabila kenyataan berhubung masalah rumah tangga kalian didedahkan oleh Diana sendiri menerusi sebuah akhbar baru-baru ni?

Farid: Saya tidak terkejut apabila kenyataan tersebut keluar daripada mulut Diana. Namun, saya lebih terkejut apabila ada pihak memperbesar-besarkan kisah berkenaan. Perkara itu lebih saya bimbangkan kerana cerita tentang rumah tangga orang tidak baik dicanang sebab ia akan mendatangkan dosa.

Bagaimanapun reaksi anda apabila kenyataan itu diluahkan oleh isteri sendiri?

Sebenarnya perkara itu langsung tidak mengganggu emosi saya. Saya tidak tertekan, marah atau menegurnya. Bagi saya, perkahwinan adalah suatu rahmat dan dugaan yang berlaku pula merupakan nikmat untuk membaiki segala kesilapan serta bermuhasabah diri. Setiap masalah yang berlaku dalam perkahwinan harus dibincangkan secara tertutup.

Apakah pengajaran yang diterima anda daripada pengalaman tersebut?

Ia suatu momen yang perlu dilalui untuk saya mengenali pasangan dengan lebih dekat dan secara tidak langsung membangkitkan kembali kemanisan dalam hubungan perkahwinan kami.

Mungkinkah apa yang berlaku merupakan perkara paling kritikal pernah dihadapi oleh kalian sepanjang perkahwinan?

Mahkamah syariah bukanlah tempat untuk memutuskan suatu perkara sahaja seperti perceraian semata-mata, sebaliknya pelbagai informasi tentang rumah tangga boleh diperoleh di sana. Terdapat ramai pakar agama, rumah tangga, hubungan suami isteri dan banyak lagi boleh dirujuk di mahkamah.

Mungkin anda boleh kongsikan perubahan yang berlaku dalam rumah tangga selepas perkara tersebut berlaku?

Alhamdulillah kami mendapat penerangan daripada pihak yang pakar tentang perkahwinan dan sedikit sebanyak membantu kami menambahkan ilmu rumah tangga. Saya akui memang ada perubahan positif tetapi biarlah ia menjadi rahsia kami berdua sahaja.

Apakah kata-kata akhir yang ingin anda luahkan selepas kemelut rumah tangga berakhir secara positif?

Adalah normal untuk orang sekeliling mahupun peminat mengambil tahu tentang apa yang berlaku kepada saya atau Diana.

Oleh itu, saya harap apa yang berlaku terhadap kami diambil teladan orang lain. Ini kerana setiap hari dalam perkahwinan adalah proses pembelajaran yang tidak pernah tamat.

Apapun kami berdua masih bahagia dan kekal sebagai pasangan suami isteri.

Baca lagi: Farid Kamil Sanggup Berlapar

LEAVE A REPLY