Frank Bernhardt

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) telah menyelesaikan tuntutan baki gaji bekas jurulatih skuad bawah 22 tahun negara (B-22), Frank Bernhardt.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, pihaknya telah mencapai kata sepakat selepas satu perjumpaan diadakan dengan pengendali Jerman itu di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Menurutnya, Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim gembira kemelut yang melanda badan induk persatuan itu dengan Bernhardt berjaya diselesaikan dalam keadaan harmoni.

“Isu berhubung tuntutan baki gaji bekas ketua jurulatih skuad B-22 kebangsaan, Bernhardt telah diselesaikan selepas satu perjumpaan khas diadakan di Wisma FAM.

“FAM mengambil sikap untuk tidak mengulas mengenai isu tersebut sebelum ini kerana tidak mahu mengganggu proses rundingan dan perbinca­ngan dengan Bernhardt.

“Penyelesaian dan keputusan yang dibuat hari ini (semalam) turut mendapat perkenan Presiden FAM dan isu ini tidak perlu dipanjangkan lagi,” kata Hamidin dalam satu kenyataan semalam.

Sebelum ini, Bernhardt dilaporkan mahu membawa kes tunggakan gaji itu kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) jika FAM gagal menyelesaikan tuntutan beliau.

Bernhardt dilepaskan oleh Tunku Ismail selepas baginda dipilih menjadi Presiden FAM pada Kongres FAM ke-53 pada 25 Mac lalu yang mana ketika itu Bernhardt sedang membawa skuad Projek Sukan SEA di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Difahamkan, Bernhardt yang menerima gaji RM70,000 sebulan, harus dibayar baki kontrak bernilai hampir RM700,000.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here