FAM
Foto FourFourTwo

Selesaikan segera! Itu harapan ahli-ahli gabungan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung kemelut yang didakwa membabitkan badan induk itu dengan MP & Silva menjelang musim baru Liga Malaysia (Liga M), tahun depan. 

Nadi Arena sebelum ini melaporkan kerjasama membabitkankan FAM dan MP & Silva yang menjanjikan pendapatan sebanyak RM1.26 bilion untuk tempoh 15 tahun, didakwa sudah berakhir.

Ini susulan jaminan pendapatan RM70 juta setahun didakwa tidak berjaya ditunaikan sehingga menimbulkan desas-desus kononnya kontrak yang dimeterai setahun lalu itu juga berkemungkinan diheret ke meja perundangan.

Enggan perkara itu memberi kesan buruk terhadap Liga M tahun depan, Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) menggesa FAM mencari jalan penyelesaian agar tidak berlaku masalah kelewatan sepak mula liga dan pemberian geran kepada setiap pasukan.

FAM
Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustafa

“Kalau MP & Silva menarik diri, saya lihat kerugiannya adalah dari segi kewangan yang sepatutnya diperolehi FMLLP (Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia), FAM dan juga ahli gabungan.

“Berdasarkan taklimat yang kami terima, kami sepatutnya mendapat jumlah yang baik, di mana kami belum dapat.

“Situasi ini memberi kesulitan kepada kami, namun kami tetap menerima hakikat kalau MP & Silva menarik diri.

“Bagi pihak kami tiada masalah. Isu ini membabitkan FMLLP dan juga FAM,” ujar Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustafa.

Untuk rekod, musim Liga M 2016 terpaksa dianjakkan sehingga ke bulan Februari gara-gara beberapa masalah tertentu yang kemudiannya mengundang masalah kepadatan jadual perlawanan.

LEAVE A REPLY