fakta dan auta

Hari ini hampir setiap hari penyebaran berita atau apa sahaja maklumat berlangsung di ruang maya khasnya di media sosial. Selain itu terdapat ribuan portal yang menyampaikan isu-isu semasa kepada khalayak pembaca. Ada portal yang mempunyai kredibiliti dalam pelaporannya, malah ada juga portal yang bersikap tidak jujur dan gemar menyuarakan gosip sebagai berita benar.

Hari ini sesiapa juga boleh menjadi wartawan dan editor akhbar, tidak lagi perlu belajar dalam bidang kewartawanan, tetapi cukup sekadar mempunyai ruang di media sosial dan segala-galanya boleh tersebar. Hal ini sebenarnya bersangkut dengan etika dalam penulisan dan penyampaian berita. Setiap berita yang disampaikan harus membawa kebenaran dari sudut fakta dan pandangan. Sesebuah yang korup dari segi fakta dan mempunyai kecenderungan untuk memesongkan pandangan yang benar boleh dianggap sebagai menyalahi etika.

Satu hal yang wujud pada masa kini ialah ruang maya yang diteroka secara meluas oleh pengendali portal ini bukan lagi bertujuan memberikan ilmu atau menyampaikan berita, tetapi lebih kepada ruang mendapatkan keuntungan mudah melalui ruangan iklan dan sebagainya. Soal benar atau tidak itu sudah menjadi soal nombor dua. Ini menjadikan pembaca menerima didikan pembacaan yang salah dan sukar membuat keputusan untuk mengetahui kebenaran.

Ada pembaca yang gemar mempercayai terus apa yang disampaikan oleh portal-portal ini, tanpa memiliki kesedaran untuk menyelidiki terlebih dahulu berita atau fakta yang disampaikan. Lebih membimbangkan wujud kecenderungan dalam portal hari ini yang meletakkan tajuk artikel dalam bentuk sensasi, tetapi isinya mempunyai kaitan minima dengan tajuk, malah dalam sesetengah keadaan isi dan tajuk artikel berkenaan langsung tidak mempunyai kaitan.

Tindakan seperti ini boleh disifatkan berkecenderungan untuk memancing pengguna agar terpaut dengan umpan yang ditaburkan. Lebih memburukkan keadaan artikel berkenaan dikongsi secara meluas dan dipercayai oleh ramai orang sedangkan tajuknya membawa pengertian yang mengelirukan berbanding kandungan artikel berkenaan. Ini satu kesalahan dari sudut etika pembaca dan penulis.

Jelas sekali di zaman kini sesebuah berita itu disampaikan bukan niat untuk membawa kebenaran, tetapi membawa nilai sensasi semata-mata. Setiap sudut berita itu, cuba dimanipulasi agar timbul keberahian sensasinya dan menutup ruang untuk kebenaran itu muncul. Ini bukan sesuatu yang baik untuk kita hadam dalam zaman yang semakin mencabar ini. Tindakan penguatkuasaan mungkin dilihat satu tindakan yang berlebih-lebihan, namun jika dibiarkan kemungkinan budaya penulisan tanpa etika ini akan terus melarat tanpa ubat.

Perkara terpenting untuk membolehkan hal seperti ini diatasi segera ialah melaksanakan ruang didikan kepada kanak-kanak untuk memahami aspek penulisan beretika sejak dari kecil lagi. Jika keadaan ini dapat disesuaikan dengan mereka, maka sudah tentu kita tidak lagi berdepan dengan kesukaran untuk menangani isu ini.

Ingatlah, setiap tulisan yang kita tulis membawa pengertian yang bermakna untuk memastikan kebenaran itu disampaikan dengan teliti dan penuh cermat. Berhati-hati di landasan penulisan, biar fakta tepat, jangan kata-kata terbabas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here