Faiz Subri

PETALING JAYA: Gol sepakan percuma knuckleball pemain tengah skuad Harimau Kumbang, Mohd Faiz Subri tersenarai antara 10 calon akhir bagi Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2016.

FIFA dalam laman web rasminya, www.fifa.com, memaklumkan gol Mohd Faiz itu adalah antara yang disenaraipendekkan bagi melalui proses awal pemilihan sebelum melalui peringkat kedua.

Perkara itu turut kongsikan Persatuan Bolasepak Pulau Pinang menerusi laman Facebooknya, FA Penang pada malam Isnin.

“Sah!. Gol jaringan Faiz Subri telah tersenarai bersama sembilan lagi jaringan terbaik dunia untuk Anugerah Puskas FIFA 2016. Tahniah,” tulis pasukan itu.

Pasukan tersebut turut memuat naik pautan untuk mengundi calon tunggal dari Malaysia itu.

Faiz Subri
Mohd Faiz Subri
Faiz Subri akan bersaing dengan beberapa pemain terkemuka dunia seperti bintang Barcelona, Lionel Messi dan Neymar untuk merebut gelaran tersebut.

Beliau turut dicabar Mario Gaspar (Sepanyol), Hlompho Kekana (Afrika Selatan), Marlone (Brazil), Saul Nigue (Sepanyol), Hal Robson-Kanu (Wales), Daniuska Rodriguez (Venezuela), Simon Skrabb (Finlad).

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini telah menghantar surat untuk mencadangkan kepada FIFA agar gol unik pemain berusia 29 tahun itu yang dijaringkan menerusi sepakan bebas dari jarak 32 meter pada minit ke-62 perlawanan Liga Super antara Pulau Pinang dan Pahang di Stadium Bandaraya Pulau Pinang pada 16 Februari lepas disenaraikan sebagai salah satu calon dalam Anugerah Puskas 2016.

Pada 17 Mac lalu,  FAM memaklumkan bahawa mereka menerima surat maklum balas daripada FIFA berhubung cadangan gol Mohd Faiz dicalonkan bagi anugerah tersebut.

Fenomena sepakan ajaib Faiz Subri mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi viral peminat bola sepak di seluruh dunia.

Malahan ada yang mendakwa sepakan lencong Faiz Subri itu lebih hebat berbanding pemain lagenda, Roberto Carlos ketika menentang Perancis pada 1997.

Peminat bola sepak boleh membuat undian terhadap jaringan pilihan mereka bermula hari ini menerusi laman web FIFA sehingga 2 Disember ini.

Tiga jaringan terbaik yang mendapat undian terbanyak akan melalui undian sekali lagi.

Pemenang akan diumumkan pada Anugerah Bola Sepak FIFA di Zurich pada 9 Januari 2017.

LEAVE A REPLY