EXCO
Foto oleh FMT

KUALA LUMPUR: Sebuah video kenderaan dipandu dalam keadaan berbahaya yang dimuat naik Farizul Hakim Kamarudin di laman Facebook malam tadi menjadi viral apabila beliau mendakwa pemandu kenderaan itu ialah Exco Pemuda Umno Nazir Hussin Akhtar.

Menerusi catatan di akaun Facebook miliknya, Farizul berkata ketika itu beliau sedang memandu di Lebuhraya Lingkaran Tengah II (MRR2) bersama keluarga dan hampir terbabit dengan kemalangan apabila kereta yang didakwanya milik Nazir bertindak menghalang keretanya, lagak seperti pembuli jalanan.

Sebelum itu, ketika di bulatan kecil Seri Gombak menghala ke MRR2, Farizul mendakwa Nazir berkali-kali membunyikan hon dari arah belakang dan cuba menghimpitnya yang menyebabkan kereta milik Farizul hampir melanggar pengadang jalan.

Nazir yang dihubungi hanya berkata Farizul perlu berhati-hati sebelum membuat sebarang tuduhan.

“Bagaimana dia boleh tahu individu yang berada di dalam kereta itu ialah saya? Dia tahu ke berapa banyak kereta yang saya ada?

“Saya dinasihatkan oleh peguam untuk tidak melakukan sebarang kenyataan balas. Lebih baik saya diam dan tidak keluar sebarang komen,” katanya.

Nazir berkata beliau sendiri ada menghantar mesej kepada Farizul untuk bertanya mengenai perkara itu.

“Saya tidak mahu panjangkan cerita. Saya anggap ini sebagai serangan peribadi. Dia letak di Facebook dan tag pihak pembangkang untuk malukan saya,” katanya.

 

LEAVE A REPLY