ESSCOM
Foto oleh FMT

KUALA LUMPUR: Menteri di jabatan perdana menteri menafikan ada ‘orang dalam’ di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) membocorkan maklumat mengenai pergerakan pasukan keselamatan kepada pihak luar.

Datuk Seri Shahidan Kassim bagaimanapun berkata, perkongsian maklumat mungkin berlaku melibatkan pendatang asing tanpa izin atau tali barut yang mempunyai pertalian persaudaraan dengan pengganas menyerang Pantai Timur Sabah.

“Tiada kebocoran maklumat melalui orang dalam daripada Esscom seperti yang diperkatakan,” katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2017 peringkat Jabatan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, semalam.

Isu itu dibangkitkan Datuk Dr Ewon Ebin (BN-Ranau) semasa membahaskan rang undang-undang itu sebelum ini, yang mempersoalkan isu kebocoran maklumat mengenai pergerakan pasukan Esscom mengawal perairan Pantai Timur Sabah.

Sementara itu, Shahidan menyifatkan tidak munasabah untuk membubarkan Esscom yang dikatakan gagal mengawal perairan Sabah.

mole-esscom-1
Foto oleh The Mole

Beliau berkata, kerajaan berusaha keras memastikan operasi Esscom berada di tahap baik dalam mengawal perairan Sabah demi menjaga keselamatan dan kedaulatan negara.

“Tanggungjawab Esscom adalah untuk memastikan perairan sabah berada dalam keadaan selamat…dan penubuhannya adalah bagi mengekang pencerobohan di Pantai Timur Sabah, selepas percubaan pertama di Kampung Tanduo, Lahad Datu,” katanya.

Dalam pada itu, Shahidan berkata, kerajaan sudah mengeluarkan peruntukan segera bagi menubuhkan pasukan sukarelawan di bawah Angkatan Pertahanan Laut dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Tanpa menyatakan jumlah peruntukan itu, beliau berkata, pasukan sukarelawan itu akan disertai rakyat untuk membantu pasukan keselamatan.

“Penyertaan rakyat mampu membantu menangani masalah keselamatan kerana kalau kita serah soal keselamatan kepada pihak penguat kuasa tanpa penglibatan rakyat, kita akan hadapi masalah,” katanya.

Menjawab dakwaan pertindihan fungsi antara APMM dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam menjaga perairan negara, Shahidan berkata, isu itu tidak sepatutnya timbul.

cb90

Jelasnya, kedua-dua pasukan keselamatan itu menjalankan tugas bersama, memandangkan kawasan perairan yang cukup luas dengan TLDM menjaga keamanan perairan negara secara keseluruhan, manakala APMM melaksanakan penguatkuasaan.

“Misalnya untuk membawa kapal yang ditahan ke jeti untuk rundingan mengambil masa sehingga beberapa jam dan TLDM tidak boleh melakukan semua ini bersendirian, kita perlukan satu agensi untuk penguatkuasaan ini,” katanya.

Mengenai Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) pula, Shahidan berkata, setakat ini kerajaan mendapat kerjasama baik daripada semua kerajaan negeri.

Beliau berkata, di Selangor misalnya, 52,704 unit diluluskan untuk pembinaan.

“Bagi saya, kita jangan politikkan soal rumah PR1MA ini, apa yang penting kita mahu bina rumah untuk rakyat, jika ia dipolitikkan yang rugi rakyat nanti,” katanya.

Terdahulu, ketika mencelah, Datuk Seri Irmohizam Ibrahim (BN-Kuala Selangor) ingin tahu adakah kerajaan menghadapi masalah atau kekangan membina rumah PR1MA di Selangor.

LEAVE A REPLY