elly mazlein
Cover image via Kosmo

DICEMUH saat menarik diri daripada meneruskan perjuangan dalam pentas program realiti Gegar Vaganza (GV3) musim ketiga Elly Mazlein sudah berpaling daripada memikirkan ‘huru-hara’ yang tercetus.

Biarpun dilabel mudah melatah, sensitif tidak bertempat dan sengaja meraih simpati daripada drama kehidupan realitinya, situasi tersebut tidak pernah mematahkan semangat Elly yang kini popular dengan panggilan Kak Lina Pom Pom untuk meneruskan perjuangan.

Setelah tersingkir daripada GV3, ibu tunggal itu telah dipilih menjadi duta jenama pakaian wanita, Neng Geulis.

Berkongsi kegembiraan tentang rezeki yang melimpah-ruah, situasi tersebut juga menunjukkan emosi Elly kembali normal. Rajuknya kian pulih dan dia bersedia berdepan karier hari esok yang semakin memihak kepadanya.

Tahniah kerana dipilih menjadi jurucakap jenama pakaian Neng Geulis. Pelantikan tersebut menunjukkan bahawa Elly kini mempunyai pengaruh kuat dalam kalangan. Boleh kongsikan sedikit peranan anda sepanjang menjadi duta jenama tersebut?

ELLY MAZLEIN: Ini merupakan rezeki buat anak saya, Putri Sara Sefhia. Selama setahun kontrak bersama Neng Geulis, peranan saya bukan sahaja untuk mempromosikan jenama ini tetapi bertanggungjawab menyumbangkan idea dalam setiap rekaannya.

Jadi, peminat akan mendapatkan rekaan yang saya suka dan pada masa sama bersesuaian untuk wanita berhijab.

Apabila orang sudah beri kepercayaan, saya hanya perlu memberikan sepenuh komitmen.

Sejak menyertai GV3, nama anda kembali panas, sekali gus membuatkan banyak pihak mula membuka mata untuk bekerjasama dengan anda, adakah anda cukup sedar tentang situasi tersebut?

Benar, impak GV3 sangat besar. Saya baru membuka akaun Facebook dan Twitter, jadi tidak dinafikan jumlah pengikut di laman sosial semakin bertambah. Tawaran kerja yang datang juga tidak putus.

Selain pakaian, saya juga dipilih menjadi duta barangan penjagaan kulit dan barangan bayi. Anak saya, Sefhia juga menerima impak apabila menerima pelbagai jenis hadiah setiap hari.

Bagaimana pula dengan dakwaan populariti anda sekadar dipergunakan untuk kepentingan pihak lain?

Tidak mengapa. Saya tidak perlu menjadi terlalu sensitif dalam hal ini kerana itulah adat anak seni. Kalau orang bercakap hanya ingin mempergunakan saya sahaja, saya tidak kisah kerana saya sudah pernah dicemuh lebih hebat dari sekarang. Itu yang membuatkan saya kebal dengan cemuhan.

Beralih kepada GV3, adakah anda akan kembali menyertai GV3 sekiranya diberikan imuniti oleh penaja program, Datuk Seri Vida sedangkan anda pernah mengeluarkan kenyataan tidak akan menyertai pertandingan tersebut lagi?

Benar, saya pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian. Berhubung imuniti yang dijanjikan penaja, saya tidak mahu mengeluarkan komen kerana takut tersilap cakap.

Bagaimanapun saya tahu, 90 peratus peminat menginginkan saya menyertai semula pertandingan itu.

Perasaan saya juga kuat ingin menyertai semula GV3, jika boleh sekarang juga saya mahu bertanding semula.

Bagaimana pula dengan kritikan yang dilemparkan sesetengah artis kepada anda?

Saya memang tiada sesiapa dalam industri. Apabila dicerca saya menganggap ia sebagai kekuatan kepada saya. Sebagai contoh, Fara Fauzana ada memerli saya dalam Separuh Akhir Muzik Muzik. Semasa bertemu dengannya pada malam konsert minggu kelima, dia bertanya sama ada saya memarahinya atau tidak.

Saya akui terkesan dengan sindirannya dan mengakui saya marah tetapi dalam nada bergurau. Sekarang musim saya dihentam dan disayangi tetapi saya memilih untuk memikirkan semua yang manis kerana ia lebih banyak daripada yang pahit.

Boleh ulas sedikit mengenai kritikan tajam Fauziah Ahmad Daud atau Kak Ogy yang mendakwa pernah mengenali siapa diri anda sebenarnya berhubung isu GV3?

Teguran tersebut boleh dilontarkan secara lebih berhemah. Bukan pilih jalan seperti hendak memburukkan atau menjatuhkan orang.

Sebenarnya, cara Kak Ogy bagaikan menjatuhkan diri sendiri. Bagaimanapun, saya tetap menghormati teguran Kak Ogy memandangkan beliau seorang yang berpengalaman dalam industri.

Sejujurnya saya berasa terharu dengan dakwaan beliau pernah mengenali saya. Saya memang pernah bekerja bawah arahan beliau dalam drama Bukan Yang Pertama sekitar 2005.

Seingat saya, Kak Ogy hanya sempat mengarah separuh daripada keseluruhan penggambaran dan kami tidak sempat untuk duduk semeja berborak bersama. Apabila beliau berkata mengenali siapa saya, tidak mengapa saya terima sahaja.

Adakah anda ada berhasrat untuk bersemuka dengan Kak Ogy?

Jika ada pihak yang ingin mengaturkan perjumpaan bersama Kak Ogy pastinya saya bersedia. Sama seperti Datuk Ramli MS, saya akur apabila pihak Astro mempunyai usaha untuk memperbetulkan keadaan.

Bagaimana dengan perancangan kerjaya seni anda selepas ini?

Buat masa ini saya tidak mempunyai sebarang perancangan untuk menghasilkan single baharu atau menerima mana-mana tawaran lakonan kerana jadual yang padat.

Bagaimanapun, saya mempunyai perancangan untuk berjumpa dengan peminat di seluruh Malaysia menerusi jelajah yang diaturkan pihak Neng Geulis.

Baca lagi: Sasaran Peminat Elly Mazlein, Alyah Terancam

LEAVE A REPLY