elly mazlein
Cover image via mynewshub.cc

SEJAK penyanyi dan pelakon Elly Mazlein bercerai dengan bekas suaminya, seorang pengarah drama, Azmi Hatta pada 15 Oktober tahun lalu, nama pelakon Faye Kusairi menjadi hangat gara-gara khabar angin yang mendakwa dia menjadi punca keruntuhan rumah tangga pasangan tersebut.

Dakwaan berkenaan bagaimanapun dinafikan oleh Faye dan menyifatkan desas-desus tersebut sebagai fitnah sehinggalah semalam, dia membuat pengakuan terbuka di sebuah portal hiburan bahawa bekas suami Elly merupakan kekasihnya.

Faye menegaskan hubungannya dengan Azmi mula serius selepas dua bulan pengarah filem Duhai Si Pari-Pari itu bercerai Elly.

Mengulas kenyataan terbaharu tersebut, Elly ketika dihubungi enggan memberi banyak komen. Sejak bercerai, dia sudah berkerat rotan enggan mengambil tahu dan terlibat dalam kehidupan bekas suaminya.

Meskipun tanpa suami di sisi, Elly yang baru diumumkan sebagai peserta program Gegar Vaganza musim ketiga menjelaskan, kehidupannya bersama anak tunggal, Putri Sara Sefhia, 7 bulan, kini cukup bahagia.

Tahniah Elly kerana tersenarai sebagai peserta program Gegar Vaganza musim ketiga. Apakah yang membuat anda menerima tawaran tersebut?

Elly Mazlein: Terima kasih, saya anggap penyertaan dalam program Gegar Vaganza sebagai rezeki anak. Saya menerima tawaran menyertai program ini bukan kerana sudah tidak berlakon, tetapi untuk mengubat rindu menyanyi. Mungkin ada peminat generasi baharu yang tidak tahu bahawa saya merupakan seorang penyanyi sebelum menjadi pelakon. Jadi, ini adalah satu peluang yang tidak mungkin saya lepaskan.

Bagaimanakah dengan kerjaya lakonan dan anak anda selepas menyertai Gegar Vaganza musim ketiga?

Saya masih berlakon tetapi memang banyak tawaran terpaksa ditolak demi memberi komitmen terhadap program berkenaan. Anak pula tiada masalah kerana saya mempunyai pembantu rumah. Sebagai janda, saya perlu bekerja mencari nafkah demi masa depan anak. Sebelum ini saya berehat daripada dunia seni selama dua tahun kerana memberi fokus kepada keluarga ketika masih berkahwin dahulu.

Sekarang anak semakin membesar jadi, sudah tiba masanya untuk kembali aktif seperti dahulu.

Apakah pandangan anda apabila Faye mengaku bercinta dengan duda anda?

Bersyukurlah kerana akhirnya dia mengaku bercinta dengan bekas suami saya. Namun, kami telah berpisah dan jika boleh saya tidak mahu terlibat dalam kehidupan bekas suami. Tiada apa yang ingin yang saya katakan kecuali semoga mereka berbahagia.

Bagaimanakah hubungan anda dengan bekas suami?

Meskipun telah bercerai, saya tidak pernah menghalang bekas suami untuk berjumpa anak. Mahkamah telah memberi hak lawatan seminggu sekali kepadanya. Namun, dia langsung tidak melawat anak. Pada 12 Oktober ini, saya akan ke Mahkamah Rendah Syariah, Sepang untuk meneruskan perbicaraan tuntutan nafkah anak. Doakan yang terbaik untuk saya dan anak.

Adakah anda serik untuk kembali berumah tangga selepas ini?

Memang saya serik dengan apa yang berlaku. Fokus buat masa ini hanyalah bekerja untuk membesarkan anak dan menjaga bapa saya. Saya tidak ada hubungan dengan mana-mana lelaki. Saya juga tiada ada masa untuk bercinta kerana terlalu sibuk dengan kerja serta tugas sebagai ibu.

Dalam pada itu, Azmi Hatta ketika diminta mengulas lanjut tentang pengakuan Faye bersikap terbuka dan memberitahu, selama ini dia tidak pernah menyembunyikan hubungan mereka.

Tegasnya, meskipun mereka kini merupakan pasangan kekasih, tetapi Faye bukanlah punca perceraiannya dengan Elly. Berbicara lanjut soal jodoh, Azmi tidak menolak andai Faye merupakan wanita yang ditakdirkan menjadi isterinya kelak.

Apakah pandangan Azmi apabila Faye mengaku bahawa anda adalah kekasihnya?

Azmi: Alhamdulillah. Sebenarnya saya dan Faye tidak pernah menafikan hubungan kami. Semenjak berpisah dengan bekas isteri, saya pernah membuat solat istikharah dan Faye muncul dalam bayangan. Walaupun sebelum ini pernah bekerja dengan Faye, tidak pernah terlintas dek fikiran untuk serius dengannya, sehinggalah selepas saya bercerai.

Bagaimana pula dengan dakwaan bahawa Faye merupakan punca keruntuhan rumah tangga anda?

Itu hanyalah desas-desus, akibatnya Faye yang menanggung semua bebanan tersebut walhal dia bukanlah punca perceraian kami. Elly juga tahu tentang perkara tersebut cuma selama ini saya berdiam diri kerana menganggap cara sebegitu adalah langkah terbaik untuk tidak memburukkan lagi keadaan.

Baca lagi: Faye Kusairi Akui Bekas Suami Elly Mazlein Kekasihnya

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here