elly mazlein
Cover image via Harian Metro

Tiba-tiba suhu dunia hiburan mencanak naik dengan kisah penyanyi dan pelakon popular Elly Mazlein.

Semuanya berikutan pendedahan yang dibuat bekas suaminya pengarah Azmi Hatta dalam sidang media, baru-baru ini yang mendakwa dia ditumbuk dan disepak Elly membuatkan berubah hati terhadap isterinya itu sehingga mengambil jalan untuk berpisah.

Pendedahan itu juga dibuat dalam akaun bersumpah yang menyenaraikan 45 perkara berkaitan hal rumah tangga yang dibina sebelum ini.

Bagaimanapun, Elly, 36, atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi enggan lagi mengambil pusing terhadap isu yang berlaku sebaliknya mahu terus fokus terhadap pertandingan nyanyian Gegar Vaganza 3 (GV3) yang disertainya.

“Sejak mahkamah memerintahkan dia (Azmi) membayar nafkah setiap bulan untuk anak kami Putri Sara Sefhia baru-baru ini, saya sudah membuka buku baru.

“Saya tidak mahu kenang lagi kisah lampau yang penuh dengan penderitaan itu. Lagipun, kalau saya terus tertekan disebabkan masalah orang lain, saya antara manusia yang rugi.

“Saya tidak mahu isu remeh mengganggu hidup saya lagi. Bagi saya, apa yang penting ialah menghargai peluang dan rezeki yang saya peroleh dalam program GV3 kerana apa yang saya lihat sekarang setiap orang mahu melihat saya berjaya,” katanya.

Menurut Elly, dia sangat bersyukur dengan respons positif yang diberikan peminat dan penyokongnya serta tidak menyangka masih disayangi peminat yang sentiasa mengikuti perjalanan seninya di laman sosial.

“Jika sebelum ini saya rapuh dan sendiri, sejak menyertai program ini saya lihat mereka menghargai bakat dan sentiasa memberikan kata-kata positif agar saya terus kuat mendepani masalah yang berlaku.

“Mereka semua sudah saya anggap seperti keluarga. Saya percaya setiap dugaan yang datang pasti ada hikmah di sebaliknya. Mungkin ini pulangan yang saya dapat selepas merana seorang diri,” katanya.

Ditanya tidakkah dia bimbang sekiranya rasa simpati terhadap ujian yang berlaku akan mengaburi bakat nyanyian yang dimiliki, kata pelantun popular lagu Pendita Penipu ini dia akur dan menerima perkara itu.

“Saya akui perkara ini tetapi tidak mahu ambil kesempatan terhadap peminat yang tidak putus-putus memberikan sokongan. Sebab itu, walaupun keadaan kesihatan tidak mengizinkan, saya tetap buat yang terbaik buat peminat saya.

“Saya mahu gunakan platform ini sebaik mungkin. Setiap minggu saya akan berusaha keras kerana mahu buktikan kepada mereka saya mampu menyanyi dengan baik walaupun ada halangan kecil yang datang,” katanya yang menerima komen positif daripada juri dan penonton pada konsert minggu kedua GV3, malam kelmarin.

Menurut Elly, dia bersyukur perjalanan konsert minggu kedua GV3 berjalan lancar biarpun keadaan kesihatan tidak mengizinkan.

Elly turut ditanya adakah dia ada mencuba rawatan perubatan Islam memandangkan sudah dua kali menerima suntikan di hospital selepas hampir sebulan tidak pulih dari penyakitnya, Elly berkata, dia tidak mahu berfikir buruk dan ia mungkin berlaku disebabkan keadaan cuaca yang tidak menentu.

“Saya seorang yang positif. Insya-Allah semuanya akan baik. Mungkin cuaca sekarang ini tidak baik menyebabkan saya belum sembuh. Doakan semoga saya sihat seperti sedia kala,” katanya.

Baca lagi: GV3: Elly Mazlein Sentuh Hati Peminat

LEAVE A REPLY