ella
Cover image via Astro Gempak

Bertemu dengan pemilik nama sebenar, Nor Zila Aminuddin, 50, pada sidang akhbar program realiti Lara Oh Lara (LOL), Isnin lalu, orangnya masih sama. Sifat manja dan cerianya masih ketara. Apa yang membezakan Ella dahulu dan sekarang, cuma kedamaian hidup yang ditemui beliau sejak Ramadan lalu apabila memutuskan untuk bertudung.

Ketika disogok para wartawan dengan pertanyaan mengenai imej baharunya, pelantun lagu Simbiosis itu mulanya meminta untuk tidak mahu bercerita lanjut. Tuturnya lembut sebagaimana Ella yang dikenali umum.

Bagaimanapun, menyedari tanggungjawab serta statusnya sebagai selebriti, beliau sedar bahawa doa yang baik-baik akan hadir agar perubahan positif tersebut berterusan secara konsisten.

Ujarnya, sudah lama niat bertudung tersimpan dalam hati terutama sejak melihat kakak kandungnya, Jojie Aminuddin manis dengan penampilan tersebut. Tambahan pula, suaminya, Azhar Husaini Ghazali, 35, turut memberi dorongan positif kepadanya untuk melakukan perubahan secara perlahan-lahan.

“Sebenarnya, saya memang sudah lama mahu bertudung terutama apabila sentiasa melihat Jojie bertudung. Dia juga banyak membantu dalam soal memilih fesyen tudung yang sesuai dengan jiwa saya.

“Saya selalu berborak dengan suami. Pada suatu masa (Ramadan lalu), saya sedang mencuba untuk pakai tudung dan dia (Jojie) bertanya, adakah benar saya ingin bertudung. Saya mengiyakan pertanyaan tersebut dan dia memang sangat gembira,” katanya.

Tenang

Tambah Ella, suaminya tidak pernah memaksanya untuk bertudung, namun sentiasa menyokong segala perubahan positif yang ingin dilakukan.

Tiada perkataan lain yang kerap muncul daripada bibirnya apabila ditanya mengenai perubahan yang dirasai selepas bertudung.

“Ketenangan,” itu balas Ella dengan mesra.

Katanya: “Saya berasa sangat tenang selepas bertudung. Alhamdulillah.

“Sewaktu mula-mula pakai memang kekok sehinggakan saya takut untuk mencuba (bertudung) kerana saya bimbang tidak dapat sesuaikan diri.

“Bagaimanapun, urusan itu dipermudahkan. Dalam erti kata lain, ia tidak berat malah menjadi sangat mudah.”

Lebih membahagiakan Ella juga apabila rata-rata peminat memberi respon yang positif terutama di laman Instagram.

“Sebelum ini, memang saya tidak buka mulut soal bertudung cuma saya berkongsi gambar di Instagram. Daripada situ, saya mendapat banyak komen yang positif daripada peminat yang sentiasa mendoakan imej baharu ini kekal sampai bila-bila,” katanya.

Ditebak lagi bagaimana Ella ingin menyesuaikan konsep muzik rock yang sudah sinonim dengan dirinya, berbanding imej bertudung, Ella optimis. Beliau tetap akan meneruskan muzik rock namun meletakkan batas tertentu.

“Saya masih Ella yang dahulu tetapi akan cuba sebaik mungkin untuk memperbaiki diri dalam segala aspek sesuai dengan imej sekarang. Selepas ini, saya tidak boleh lompat tinggi-tinggi ketika menyanyi,” ujarnya sambil berseloroh.

Tambah pelantun lagu Standing In The Eyes Of The World itu, imej bertudung tidak mengekang dirinya daripada menyanyikan lagu bergenre rock, namun dia akan memelihara diri daripada mengenakan penampilan yang boleh membuat orang melontarkan kata-kata negatif.

“Saya lihat di negara Arab, ada penyanyi wanita dengan imej berpurdah tetapi menyanyikan lagu rock. Kalau mereka boleh, saya juga boleh. Saya akan pakai pakaian yang sesuai dengan imej wanita bertudung. Kalau pakai jeans koyak pun, kena ada alas di bahagian dalam,” katanya.

Naluri keibuan

Sementara itu, bercerita tentang penglibatannya dalam program LOL, Ella bukan sahaja diberi peluang menjadi pengasuh si cilik Lara Alana untuk tempoh sehari, beliau turut menyanyikan lagu tema program tersebut yang diberi judul Permata.

“Saya suka Lara. Saya merupakan salah seorang pengikut setianya di Instagram. Jadi, apabila diberi kepercayaan untuk terlibat dalam program ini saya berasa sangat bertuah,” ujarnya yang sudah empat tahun bergelar isteri sejak Julai 2012.

Tenang dan bersedia rezeki yang belum jatuh ke ribaannya, Ella seronok bercerita tentang naluri keibuannya apabila diberi peluang menghabiskan masa dengan puteri kepada pasangan selebriti, Awal dan Scha Alyahya itu.

“Seronok sangat, rasa macam nak picit-picit pipi Lara kalau Awal dan Scha tiada. Kadang-kadang, saya tidak boleh tidur sebab teringatkan Lara (ketawa).

“Momen yang saya tidak boleh lupa adalah Lara suka ramas muka saya. Dia seorang kanak-kanak pintar yang sangat memikat. Tidak ada satu saat pun saya jemu bersamanya,” kata Ella.

Mengulas mengenai perkembangan seninya, Ella memberitahu lagu Permata ciptaan sepenuhnya oleh DJ Fuzz akan turut dimuatkan sebagai trek bonus dalam album terbaharunya yang akan dilancarkan pada hujung tahun nanti.

1 COMMENT

LEAVE A REPLY