elfira loy
Cover image via mediahiburan.my

BULAN ini cukup bermakna buat aktres bertubuh genit Elfira Loy. Masakan tidak, selepas berhempas-pulas selama dua setengah tahun dan berkorban memperlahankan kerjaya lakonan, akhirnya dia bakal memperoleh segulung diploma dalam bidang kesenian hiburan daripada Kolej Damansara Utama, Selangor.

Biarpun berpengalaman luas dalam bidang seni, namun segulung diploma itu cukup berharga buat Elfira, 22, kerana secara tidak langsung ia mengangkat ‘darjat’ seorang anak seni sepertinya secara profesional.

“Ramai yang bertanya kepada saya, kerjaya seni sudah stabil kenapa perlu bersusah payah untuk belajar? Sebenarnya dalam apa bidang sekali pun pelajaran sangat penting. Apa yang dipelajari di set penggambaran adalah praktikal, tetapi ketika di kolej saya banyak belajar teori bidang seni.

“Selepas tamatkan pengajian, bukan sahaja diri saya banyak berubah ke arah positif, tetapi cara melihat dunia seni itu juga sudah berbeza berbanding dahulu. Walaupun agak tertekan kerana kesibukan jadual kerja dan pelajaran, saya bersyukur kerana dapat menamatkan pengajian mengikut tempoh yang ditetapkan,” ujar Elfira yang memperoleh biasiswa daripada kolej tersebut sepanjang melanjutkan pelajaran.

Disoal adakah dia mahu menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi, anak kedua daripada empat adik-beradik itu hanya tersenyum dan menganggukkan kepalanya. Bagaimanapun disebabkan komitmennya terhadap kerjaya seni dan perniagaan, Elfira menjelaskan, dia tidak terfikir untuk menyambung pelajaran di universiti mahupun kolej swasta kerana ia memakan masa yang lama.

Bagaimanapun, pemilik nama sebenar Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri itu terbuka untuk menambah ilmu pengetahuannya menerusi kursus jangka pendek bersama tenaga pakar dalam bidang tertentu.

“Selepas punya pengalaman jadi pelajar dan dihambat dengan pelbagai tugasan, rasanya saya lebih suka belajar secara peribadi. Maknanya berjumpa pakar dalam bidang tertentu seperti fesyen untuk menambah ilmu berkenaan perniagaan pakaian. Cara itu lebih fleksibel dan sesuai untuk saya,” tutur Elfira.

Berbicara tentang langkahnya selepas ini, Elfira tetap dengan pendiriannya enggan memberi fokus kepada bidang lakonan semata-mata meskipun telah menamatkan pengajian. Bukannya tiada tawaran lakonan, tetapi selepas sedekad dalam industri seni Elfira mengakui sudah tepu dengan watak yang diberikan kepadanya.

Sungguhpun begitu, ia tidak bermakna Elfira mahu melupakan terus dunia lakonan yang menjulang namanya. Sebaliknya, Elfira mengambil sikap lebih selektif terhadap segala tawaran yang hadir.

“Rezeki lakonan tetap ada dan saya masih berlakon, tetapi tidak aktif seperti dahulu. Bukan cerewet, tetapi selepas 10 tahun, saya tidak tahu watak apa yang belum pernah dicuba. Jika watak gadis baik, bercinta dan remaja sekolah semuanya saya telah lakukan. Jika boleh saya mahu mencuba sesuatu yang baharu.

“Sebab itu, sekarang saya lebih suka menjadi pengacara terutamanya travelog kerana ia memberi pendedahan tentang perkara baharu. Kali terakhir saya jalani penggambaran drama adalah tahun lalu. Biasanya saya hanya menerima drama yang membuatkan jantung saya berdebar-debar dan bulu roma meremang apabila membaca skripnya,” ujar pemilik restoran Love Me Sevendays Cafe, Alam Damai, Cheras itu lagi.

Extreme Roadtrip

Beralih topik tentang perkembangan terbaharunya, Elfira baru sahaja selesai menjalani penggambaran program travelog Extreme Roadtrip yang telah mula disiarkan di saluran Astro Bella pada 1 Oktober.

Terpilih sebagai pengacara bersama teman baiknya Sherry Al Hadad dan juga Ardell Aryana, Elfira menjelaskan Extreme Roadtrip sangat berbeza dengan program travelog lain. Bukan sahaja pengacara terpaksa memandu sendiri ke setiap destinasi di seluruh Malaysia, tetapi mereka juga harus menyelesaikan misi cabaran atau senarai aktiviti lasak yang telah ditetapkan oleh pihak produksi.

“Cedera lebam-lebam itu perkara biasa, Ardell sampai terseliuh kakinya. Sherry pula tidak sangka mampu melakukan banyak aktiviti lasak yang tidak pernah dilakukan sebelum ini dan saya sampai sakit badan sebab terpaksa membawa mereka berdua,” katanya dalam ketawa.

Bagaimanapun jelas Elfira aktiviti paling mencabar untuknya adalah aktiviti snorkeling. Bukannya tidak pandai berenang, tetapi Elfira amat fobia dengan ikan yang mengejarnya. Selain itu, Elfira juga sanggup mengambil risiko untuk melakukan aktiviti sukan paramotor.

Walaupun berisiko untuk jatuh jika ketiadaan angin, Elfira menyahut cabaran dan terkesima dengan keindahan alam yang dinikmati ketika terbang di udara.

Menariknya sepanjang penggambaran, Elfira juga sempat berkongsi tips kepada penonton dan peminat tentang cara pemakaian hijab kepada golongan muslimah yang ingin melakukan aktiviti lasak.

Kata Elfira kewajipan menutup aurat bukan penghalang untuknya melakukan pelbagai aktiviti lasak. Meskipun terpaksa berpanas dengan memakai jaket ketika mendaki bukit, Elfira berjaya mengharungi segala cabaran tanpa sebarang masalah.

“Mendaki bukit dengan pakai jaket memang tidak kelakar kerana sangat panas. Namun, apabila kita berniat baik, semuanya berjalan lancar.

“Saya juga temui cara yang baharu untuk berenang sambil memakai hijab. Selalunya hijab akan terbuka apabila terjun ke dalam laut, jadi saya kongsikan cara pemakaian yang mudah dan ringkas dalam akaun Instagram serta program ini. Saya berharap ia memberi manfaat kepada orang ramai,” terangnya tentang program tersebut.

Kembali bersama Randy

Oktober juga menjadi bulan yang melihat Elfira kembali ke set penggambaran bergandingan dengan aktor popular Indonesia, Randy Pangalila menerusi siri Oh My English! musim terbaharu.

Pernah digandingkan dalam dua buah telefilem popular iaitu Biar Mimpi Sampai Ke Bintang (2011) dan Dalam Hati Ada Taman (2012), dia tidak bimbang andai gandingan tersebut akan kembali mengaitkan dirinya dengan Randy.

Katanya, dia dan Randy hanyalah teman biasa, tambahan pula aktor tersebut telah bertunang dengan kekasihnya, Michella Putri yang juga seorang pelakon dari Indonesia.

“Sebenarnya saya tidak tahu tentang penglibatan Randy dalam Oh My English! Terkejut juga apabila diberitahu pihak produksi kami akan digandingkan sekali lagi. Kami memang sudah lama tidak berjumpa, cuma ada bertanya khabar menerusi telefon sahaja.

“Jika ada pihak yang cuba mengaitkan kami bercinta seperti mana berlaku dahulu saya tidak bimbang kerana ia tidak benar dan Randy pun sudah bertunang,” katanya.

Telefilem Biar Mimpi Sampai Ke Bintang berjaya mendapat rating tertinggi melebihi satu juta penonton sehingga peminat mengaitkannya bercinta dengan Randy.

Selain Randy, Elfira juga pernah dikaitkan bercinta dengan seorang lagi pelakon Indonesia iaitu Baim Wong.

Kisah cinta Elfira dan Baim begitu hangat sehingga dia diburu oleh media negara seberang apabila dilihat hadir berpasangan ke majlis perkahwinan pelakon Raffi Ahmad dan Nagita Slavina di Jakarta, Indonesia dua tahun lalu.

Jelas Elfira yang pernah bergandingan dengan Baim dalam telefilem Untuk Terakhir Kali, kontroversi cintanya mungkin berlaku disebabkan peminat menyukai keserasian mereka menerusi lakonan sehingga ia terbawa-bawa ke dunia realiti.

“Status saya dan Baim memang tidak ada apa-apa, kami hanya kawan biasa. Agak rumit untuk saya terangkan perkara berkenaan kerana tidak tahu apa yang dia mahukan dan apa yang saya mahukan. Jadi, lebih baik berkawan sahaja.

“Sejujurnya Baim yang ingin segera berkahwin, bukannya saya. Walaupun kami masih berhubung, tetapi dia tidak pernah datang secara peribadi ke Malaysia disebabkan saya semuanya tentang hal kerja sahaja,” tutur Elfira.

Justeru, sehingga kini Elfira masih terbuka soal hati kepada mana-mana lelaki yang ingin mengenalinya. Dia malah mengaku, angka 22 tahun masih terlalu awal untuknya mendirikan rumah tangga.

“Saya tidak kisah berkawan dengan lelaki lebih berusia, asalkan dia ikhlas,” luahnya menutup bicara.

Baca lagi: Elfira Loy Pertahankan Uqasha Senrose

 

2 COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here