elizabeth tan
Cover image via Kosmo

BIARPUN sering dikaitkan dengan cerita kurang manis seperti pihak pengurusan yang sukar dibawa berurusan dan terbaharu, lupa tarikh temu janji dengan pihak media, kredibiliti penyanyi berusia 23 tahun, Elizabeth Tan masih tidak terusik.

Bersandarkan populariti, kecantikan dan berkarisma itu mungkin menjadi antara faktor yang melayakkannya terus diminati.

Penerimaan peminat dan industri terhadap wanita yang mesra disapa Lizzy itu bertambah kukuh apabila dia diambil bekerjasama dengan produksi animasi paling berpengaruh, Walt Disney sebagai duta siri animasi terbaharu Elena of Avalor di Malaysia iaitu sebuah program animasi kanak-kanak yang disiarkan di saluran Disney.

Bukan itu sahaja, Lizzy turut menyanyikan lagu tema animasi tersebut yang berjudul Kini Masaku. Lagu tersebut juga dialih ke bahasa Indonesia dan dinyanyikan oleh Chilla Kiana.

Menemui penonton pada setiap Ahad, pukul 11 pagi bermula 13 November depan menerusi saluran Disney Channel, siri Elena Of Avalor merupakan animasi hasil ciptaan Graig Gerber.

Lizzy berkongsi pengalaman tentang proses rakaman dan pembikinan klip video lagu Kini Masaku disiarkan secara eksklusif menerusi Disney Channel bermula 1 November ini.

Tahniah kerana menjadi antara selebriti pilihan Walt Disney bagi menyanyikan runut bunyi animasi mereka. Bolehkah Elizabeth terangkan dengan lebih lanjut mengenai komitmen tersebut?

ELIZABETH TAN: Terima kasih. Menerusi kerjasama dengan Walt Disney, saya terlibat menyanyikan lagu runut bunyi siri animasi Elena Of Avalor yang akan ditayangkan bermula 13 November nanti. Ia merupakan satu pengalaman menarik dan pastinya sebagai peminat siri Walt Disney, peluang menyanyikan lagu tema salah sebuah animasinya yang berjudul Kini Masaku untuk seorang puteri Disney merupakan penghormatan kepada saya.

Adakah anda turut terlibat dalam proses alih suara animasi tersebut?

Tidak. Saya hanya menyanyikan runut bunyi bagi animasi itu sahaja selain terlibat dengan pembikinan klip video yang dijayakan selama seharian di Filipina.

Sepanjang proses rakaman, apakah cabaran yang anda hadapi?

Perkara paling utama ialah saya perlu memastikan agar cara nyanyian saya dengan animasi kelihatan seiring termasuk emosi watak pada ketika itu.

Selain itu, pembikinan klip video yang mengambil masa selama seharian menyebabkan saya hanya dapat tidur selama satu jam disebabkan proses penggambaran bermula awal pagi sehingga lewat tengah malam.

Apakah keistimewaan lagu Kini Masaku berbanding runut bunyi siri animasi terbitan Walt Disney yang lain?

Secara umumnya, mesej yang cuba disampaikan mungkin sama, namun yang membezakan ialah lagu ini memberi semangat untuk terus berusaha tanpa mengenal erti putus asa. Selain itu, ia bukan seperti dendangan seorang puteri yang memohon diselamatkan oleh putera raja seperti dalam kebanyakan animasi.

Secara peribadi, apakah persamaan yang dimiliki antara anda dan Puteri Elena?

Persamaan yang dimiliki oleh kami ialah kecekalan dan kesungguhan. Ia sama seperti single baharu saya berjudul Tabah, lagu Kini Masaku juga mempunyai penceritaan yang sama. Bagaimanapun, Elena merupakan seorang yang penyabar jika ingin dibandingkan dengan saya (ketawa). Namun, saya cuba belajar untuk menjadi lebih penyabar dalam segala aspek.

Menjadi salah seorang peminat siri puteri animasi Walt Disney, watak yang manakah paling anda minati dan mengapa?

Saya meminati Pocahontas kerana kami mempunyai kecenderungan yang sama iaitu mempunyai perasan ingin mengetahui segala perkara.

Selain daripada menyanyikan runut bunyi siri animasi Elena Of Avalor, apakah aktiviti seni anda sekarang?

Saya juga sibuk membuat persediaan mengumpul material untuk mengeluarkan single baharu pada awal tahun depan. Ada juga tawaran berlakon filem, namun ia masih dalam peringkat perbincangan justeru tidak elok untuk dikongsikan buat masa sekarang.

Menerusi laporan sebuah artikel, anda dikatakan lebih tertarik dengan lelaki Melayu. Bolehkah jelaskan perkara tersebut?

Sewaktu sekolah menengah dahulu, saya memang mempunyai ramai kawan Melayu. Selain menjalin hubungan dengan lelaki Melayu kerana berpendapat mereka kelihatan lebih menarik. Namun, itu tidak bermakna saya memilih lelaki Melayu sebagai calon suami. Bagaimanapun, segalanya terserah kepada ketentuan Tuhan dan takdir jodoh.

Baca lagi: Elizabeth Tan Bercakap Seorang Diri?

LEAVE A REPLY