Eksploitasi wanita
Image via SocialWorkBLog

KUALA LUMPUR : Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan empat individu kerana disyaki terlibat dalam sindiket eksploitasi wanita asing dan kanak-kanak sebagai pengemis di Petaling Jaya, dekat sini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar melalui akaun Twitternya berkata mereka terdiri daripada seorang pemandu teksi dan tiga penjaga, yang mana kesemuanya dipercayai adalah anggota sindiket tersebut.

Beliau berkata, polis berjaya menyelamatkan 17 individu termasuk empat kanak-kanak dan dua bayi daripada sindiket itu.

Tan Sri Khalid Abu Bakar turut mengucapkan tahniah kepada Unit AntiPemerdagangan Orang/Penyeludupan Migran (Unit Atip) PDRM atas kejayaan mereka menjalankan operasi tersebut.

“Tahniah Atip Unit @PDRMsia kerana berjaya menyelamatkan 17 warga asing yang dipaksa bekerja (11 orang dewasa, empat kanak-kanak dan dua bayi) di Petaling Jaya. Tangkap empat orang, penjaga dan pemandu teksi. #GoPDRMGo.

“Tujuh belas warga asing dipercayai menjadi mangsa eksploitasi wanita, kanak-kanak dan bayi sebagai pengemis,” katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Cawangan Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman, SAC Rohaimi Md Isa berkata, empat individu yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam sindiket yang mengeksploitasi wanita dan kanak-kanak terdiri daripada seorang lelaki tempatan dan dua lelaki dan seorang wanita warga Kemboja.

Beliau berkata aktiviti sindiket itu didedahkan selepas sepasukan polis dari Unit ATIPSOM D7C menjalankan pemerhatian dan menyerbu sebuah rumah di Prima Damansara, Jalan PJU 10/9, Petaling Jaya.

“Mereka melihat sembilan wanita, dua lelaki, empat kanak-kanak dan dua bayi diambil menggunakan dua teksi dan menghala ke Jalan PJU 10 / 9E. Polis menahan pemandu teksi dan menyelamatkan semua mangsa yang disyaki menjadi pengemis,” katanya.

Rohaimi berkata, polis turut merampas dua buah teksi, wang tunai RM 360, enam telefon bimbit, dua set kunci kereta dan beg sandang.

“Kesemua 17 mangsa dan suspek termasuk barang-barang yang dirampas telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang untuk tindakan lanjut dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 44 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here