duterte

MANILA: Presiden Filipina Rodrigo Duterte hari ini memberi amaran beliau akan mengenepikan semua kewajipan hak asasi manusia sekiranya pengganas IS dari Syria dan Iraq bertapak di negaranya.

Duterte berkata kegiatan pemberontakan dan penyamun bersarang wilayah Mindanao di selatan Filipina dan beliau risau “kemilauan keganasan” dan kemasukan pelampau yang akan mengambil kesempatan daripada ketakstabilan di situ.

“Apabila pengganas Timur Tengah dihalau daripada kawasan mereka, hartanah yang mereka diami…mereka akan merayau ke tempat lain dan mereka akan datang ke sini dan kita perlu bersiap sedia,” katanya dalam ucapan di sebuah agensi penguatkuasaan undang-undang.

“Ingat, mereka tidak pernah peduli hak asasi manusia. Saya tidak akan biarkan rakyat disembelih semata-mata demi memelihara hak asasi manusia. Itu bodoh.”

Hak asasi manusia menjadi isu yang membelenggu Duterte, yang mengecam aktivis dan negara Barat yang bimbang akan perang membasmi najis dadah yang mengakibatkan jumlah kematian yang tinggi.

Foto oleh FMT
Foto oleh FMT

Anak watan Mindanao dan datuk bandar Davao selama 22 tahun, Duterte berkata pemberontakan Islamis di situ “sangat kuat” dan pemberontak Abu Sayyaf menculik hampir setiap hari.

Abu Sayyaf kini mempunyai 21 tebusan, kebanyakannya warga asing, dan walaupun operasi ketenteraan terhadap mereka sedang berterusan, kegiatan penculikan dan lanun masih berleluasa.

Duterte berkata Filipina, Indonesia dan Malaysia sedang bekerjasama rapat untuk membendung pelampau asing.

Pada Jumaat, beliau memberi amaran undang-undang yang melindungi seseorang daripada tangkapan dan penahanan sembarangan, habeas corpus, akan digantung bagi menangani huru-hara di Filipina.

Perlembagaan membenarkan penggantungan 60 hari dalam kes melibatkan serangan luar atau pemberontakan, sekiranya perlu untuk menjaga keselamatan awam” dan mebenarkan tangkapan tanpa waran dan penahanan tanpa pendakwaan selama 3 hari.

Duterte menyebut habeas corpus pada Jumaat itu dalam konteks kekacauan di selatan negaranya dan perang membasmi najis dadah dan berkata menangkap suspek mengambil masa yang terlalu lama dan sumber yang banyak.

Pejabat Presiden hari ini mengeluarkan kenyataan berkata Duterte memberi amaran kepada dalang disebalik keganasan dan beliau akan mengambil “lebih banyak tindakan drastik” untuk menghalang mereka.

LEAVE A REPLY