malaysia
Foto oleh FMT

PUTRAJAYA: Kerajaan Filipina membenarkan Malaysia melaksanakan operasi mengejar penculik bagi mendapatkan wang tebusan sehingga merentasi sempadan maritim negara berkenaan, kata Perdana Menteri.

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kebenaran itu diberikan oleh Presiden Filipina Rodrigo Duterte dalam pertemuan mereka di sini semalam sempena lawatan rasmi presiden itu ke Malaysia selama dua hari bermula kelmarin.

Najib memberikan contoh sekiranya pihak berkuasa Malaysia sedang mengejar kumpulan penculik dan kumpulan pengganas yang melarikan diri ke perairan sempadan Filipina, pasukan Malaysia boleh terus mengejar mereka merentasi sempadan Filipina.

“Duterte telah memberikan kebenaran untuk mengambil tindakan mengejar mereka (kumpulan itu) kalau tidak, mereka akan terlepas.

“Cuma Duterte meminta pihak berkuasa Malaysia menghubungi tentera laut Filipina apabila mereka tiba di sempadan perairan Filipina untuk meneruskan operasi mengejar agar Filipina tahu kita memasuki perairan mereka,” katanya selepas pertemuannya dengan Duterte dan delegasinya.

Najib berkata ia merupakan perkembangan terbaharu yang dipersetujui Duterte dan Presiden Indonesia Jokowi sebelum ini.

8015386-16x9-2150x1210_973_625_68_s_c1_c_t_0_0

Beliau berkata menteri-menteri pertahanan Filipina, Indonesia dan Malaysia akan bertemu di Vientiane, Laos pada 22 Nov ini bagi membincangkan prosedur operasi standard (SOP) dan aspek perundangan pelaksanaan operasi itu.

Najib berkata perkembangan terbaharu ini memberi isyarat jelas komitmen kerajaan Filipina untuk mengurangkan serta menghapuskan insiden penculikan warga Malaysia di Sabah.

“Malaysia dan Filipina setuju masalah ini sangat serius sehingga mengganggu ketenteraman rakyat Sabah,” katanya.

Menurutnya, pada tahun ini sahaja, 10 warga Malaysia diculik dan 5 lagi masih ditahan oleh kumpulan penculik untuk wang tebusan.

Ketika ditanya bila tindakan mengejar itu akan bermula, Najib berkata ia akan dikuatkuasakan secepat mungkin selepas menteri pertahanan dapat mencari penyelesaian berhubung prosedur operasi standard (SOP).

Mengenai soal pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah, Perdana Menteri berkata Presiden Duterte bersetuju dengan hasrat Malaysia untuk menghantar pulang 7,000 PATI Filipina dalam depoh tahanan secara berperingkat.

Najib berkata beliau telah memberitahu Presiden Duterte bahawa isu tersebut adalah serius.

Dalam pada itu, Najib berkata beliau mencadangkan kepada Presiden Duterte untuk membuka pejabat Konsular Filipina di Kota Kinabalu, Sabah untuk pertimbangan.

Dalam perkembangan lain, Najib berkata Filipina tidak lagi memerlukan seorang fasilitator perdamaian namun mahu Malaysia terus menghantar pasukan pemantau ke selatan Filipina.

“Proses perdamaian akan terus bergerak ke hadapan dan kita akan meneruskan dengan pasukan pemantau kita di sana. Mereka tidak memerlukan fasilitator memandangkan tiada sebarang rundingan lagi. Ia adalah proses yang lebih wajar dan ia lebih kepada perkara domestik dalaman,” kata Perdana Menteri.

Ketika ditanya mengenai isu tuntutan ke atas Sabah, Najib berkata perkara itu tidak dibincangkan semasa mesyuarat dua hala berkenaan dan menyifatkannya sebagai isu yang tidak akan ditangani dengan segera.

“Pada akhirnya, apa yang penting adalah apakah manfaat yang akan diperoleh rakyat Sabah. Itu adalah bentuk persefahaman yang kita capai dengan Duterte, dan kita tidak perlu mempunyai sebarang isu perundangan bagi menghalang kita daripada bekerjasama rapat,” katanya.

 

LEAVE A REPLY