Duterte
Presiden Rodrigo Duterte - Foto oleh GMANetwork

Lanun di Selat Melaka dan militan Abu Sayyaf adalah antara isu yang dibincangkan oleh Presiden Rodrigo Duterte apabila beliau bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Kuala Lumpur minggu depan.

Beliau merancang untuk mencadangkan rondaan sempadan bersama dengan Malaysia, menurut satu laporan dalam Manila Times.

Bercakap kepada pemberita di Davao City pada malam Selasa, Duterte berkata: “Ada keperluan bagi kita, ketiga-tiga negara – Malaysia, Filipina dan Indonesia – untuk berbincang tentang perkara ini dengan lebih serius dan untuk menghentikan (masalah itu) kerana ia telah melumpuhkan perdagangan dan perniagaan di kawasan tersebut. ”

Duterte akan berada di Malaysia dari 9 November hingga 10.

Katanya, beliau mahukan dipergiatkan rondaan maritim di perairan sempadan Filipina, Indonesia dan Malaysia, yang dipenuhi oleh lanun bersenjata termasuk kumpulan Abu Sayyaf.

Sementara itu Duterte dilaporkan berkata, beliau juga akan membincangkan operasi bersama untuk memerangi kumpulan Abu Sayyaf dengan Najib. Militan Abu Sayyaf terkenal dengan keganasan dan penculikan di Filipina. Abu Sayyaf dan beberapa militan lain di selatan Filipina juga telah menculik beberapa rakyat Malaysia pada masa lalu.

Duterte berkata, beliau sudah membincangkan usaha bersepadu menentang lanun dan militan dengan Presiden Indonesia Joko Widodo.

Duterte berkata Malaysia dan Filipina juga perlu menangani masalah lanun “sempadan” dan pengganas Abu Sayyaf yang berpusat di Kepulauan Sulu serta bergerak bebas di perairan antara kedua-dua negara.

LEAVE A REPLY