DUN

Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang ditangguh hari ini selepas meluluskan usul menghentikan perkahwinan kanak-kanak kepada perogolnya.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri Chong Eng ketika membentangkan usul itu berkata usul berkenaan antara lain bagi mengecam ucapan Anggota Parlimen Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahaya berhubung isu perkahwinan perogol dengan mangsa pada persidangan Dewan Rakyat 4 April lalu.

“Adalah jelas di bawah undang-undang kita dan piawaian antarabangsa hak asasi manusia yang rogol adalah jenayah.

“Penjenayah tidak patut diberi ‘hadiah tambahan’ selepas melakukan jenayah yang keji ini dengan diberikan peluang untuk berkahwin dengan mangsa dan meneruskan kitaran keganasan terhadap mangsa dan anak-anak yang bakal dilahirkan.

“Mengahwinkan perogol dengan mangsa merupakan satu cara melenyapkan atau menutup ‘masalah’ ini dengan cepat, tetapi realitinya ialah cara ini menyebabkan keganasan terus berlaku terhadap mangsa,” katanya pada persidangan DUN, di George Town.

Sesi perbahasan usul itu bagaimanapun tidak disertai oleh kesemua wakil rakyat Barisan Nasional (BN) selepas ketua pembangkang Datuk Jahara Hamid memohon kepada Speaker Datuk Law Choo Kiang untuk tidak mengambil bahagian dalam perbahasan usul itu sebelum meninggalkan Dewan.

Sidang DUN yang berlangsung sejak 19 Mei lepas, kemudian ditangguhkan ke satu tarikh yang akan diberitahu kelak.

Sepanjang persidangan lima hari itu, 72 soalan lisan dan 629 soalan bertulis dikemukakan, manakala tiga rang undang-undang serta dua usul diluluskan.

Tiga rang undang-undang yang diluluskan itu ialah Rang Undang-undang Pinjaman Negeri Pulau Pinang (Bank dan Sumber-sumber Kewangan Lain) 2017; Rang Undang-undang Enakmen Warisan Negeri Pulau Pinang (Pindaan) 2017; dan Rang Undang-undang Perbadanan Stadium dan Kawasan Lapang Pulau Pinang.

Selain usul menghentikan perkahwinan kanak-kanak kepada perogolnya, Dewan turut meluluskan usul Enakmen Kebebasan Maklumat Pulau Pinang 2010 [Enakmen 16] bagi pelantikan ahli-ahli lembaga rayuan selama tempoh yang tidak melebihi dua tahun mulai 1 Jun 2017 hingga 31 Mei 2019.

– Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here