Canon merupakan nama yang tidak asing lagi dalam arena kamera DSLR. Hari ini, mereka secara rasminya telah memperkenalkan kamera DSLR terbaru dibawah keluarga full-frame, iaitu Canon 5D Mark IV.

5D Mark IV merupakan kemaskini dan penaik-tarafan berbanding dengan generasi sebelumnya yang telah diperkenalkan sekitar tahun 2012 yang lepas. Dengan tempoh yang sekian lama, generasi ke-4 untuk 5D Mark ini menyertakan sejumlah penaik-tarafan yang mungkin dinantikan ramai jurukamera seluruh dunia.

5D Mark IV hadir dengan sensor CMOS 30.4-megapixel yang menyokong ISO antara 100-32000. Menjana kamera ini adalah pemprosesan imej khusus dinamakan Digic 6+. Canon mengatakan kamera ini mampu merakamkan gambar sehingga 7 bingkai setiap saat.

image via The Verge

Seperti kebanyakkan kamera DSLR lain, Canon 5D Mark IV ini turut menyertakan skrin sentuh LCD bersaiz 3.2-inci untuk memudahkan pengguna mengakses kawalan dan juga melihat hasil rakaman. Melengkapkan kamera ini juga adalah penyertaan sokongan WiFi, NFC dan juga GPS.

Canon juga buat pertama kalinya menyertakan sokongan rakaman 4K pada keluarga kamera ini, membolehkan pengguna merakamkan video 4K (4096×2160 pixel) pada kelajuan antara 30 atau 24 bingkai per saat. Selain sokongan rakaman 4K, pengguna turut boleh merakamkan video pada 1080p (60fps) ataupun 720p (120fps). Melengkapkan fungsi rakaman video juga adalah penyertaan fungsi rakaman video HDR.

LEAVE A REPLY