Drama

Kota Kinabalu: Penyamaran anggota polis yang berpura-pura menjadi pegawai perubatan membawa kepada pengakhiran insiden wanita berusia 20-an yang dijadikan tebusan lebih dua jam di Jalan Damai -Luyang berhampiran Plaza Damai, di sini, malam ini.

Penyamaran pada 9.35 malam membolehkan anggota polis mendekati lelaki berusia 27 tahun dipercayai warga asing itu dan seterusnya menahannya sebelum tebusan dapat diselamatkan.

Selepas diselamatkan,wanita itu yang dipercayai tidak cedera, namun trauma dihantar ke Hospital Queen Elizabeth 2 di sini untuk rawatan lanjut.

Sumber berkata, polis yang bergegas ke lokasi kejadian terpaksa menggunakan kaedah itu bagi menyelamatkan wanita terbabit yang diheret sejauh 1.5 kilometer dari rumahnya dan diacu dengan pisau sepanjang kira-kira 15 sentimeter di leher.

“Anggota polis yang menyamar mendekati suspek kononnya untuk memberi rawatan kepada tebusan dan pada masa berbincang dengan suspek sebelum menangkapnya.

“Selepas diselamatkan, wanita itu dilihat menangis sebelum ditenteramkan oleh anggota paramedik.

“Dia kemudian dibawa ke HQE untuk memdapat rawatan lanjut,” katanya kepada Harian Metro.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superintendan George Abdul Rakman berkata, sebelum kejadian, memecah masuk sebuah rumah di Taman Istimewa di sini, kira-kira 7.35 malam.

Katanya, tindakan suspek yang mahu merompak bagaimanapun gagal selepas disedari oleh penghuninya.

“Lelaki itu yang panik segera melarikan diri dari rumah itu. Dalam usaha membebaskan diri, suspek menarik seorang wanita di rumah bersebelahan dan menjadikannnya tebusan,” katanya.

“Selepas diberkas, suspek kemudian dibawa ke balai polis berhampiran untuk siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh,” katanya. – Harian Metro –

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here