erra fazira
Cover image via Harian Metro

Yakin Erra Fazira masih punya aura tersendiri, pengarah dan penerbit, Datuk Yusof Haslam tampil menghasilkan sebuah drama bersiri khusus buat pelakon cantik itu.

Drama berjudul Andartu Kau Bidadari Ku itu bakal memulakan penggambarannya awal September ini.

Turut membariskan beberapa pelakon terkenal lain, Yusof berkata, idea menghasilkan drama itu timbul selepas dia berhasrat mengambil Erra berlakon semula di bawah syarikatnya, Skop Production.

“Saya mahu Erra berlakon di bawah Skop. Sebagai individu yang mula menaikkan nama Erra sehingga menjadi bintang, saya mahukan watak yang sesuai dengan dirinya.

“Dari situ timbul idea menghasilkan drama bersiri. Watak ini saya cipta khas untuk Erra, sesuai dengan penampilannya yang lebih matang dan bertudung.

“Wataknya dalam cerita ini lebih Islamik, lemah lembut dan tiada adegan peluk,” kata Yusof ketika ditemui di majlis rumah terbuka yang diadakannya, baru-baru ini.

Selain drama bersiri 13 episod itu, Yusof juga akan menampilkan Erra dalam drama bersiri Gerak Khas untuk 2017.

“Saya belum menetapkan drama Andartu kau Bidadari Ku akan ditayangkan di stesen televisyen mana. Perkara ini masih dalam pertimbangan.

“Pengarah juga belum diputuskan lagi. Apa yang pasti saya akan menggalas tanggungjawab sebagai pengarah bersama drama ini.

“Saya juga berharap Erra sudi terbabit dalam filem terbitan Skop yang akan diarahkan Syamsul atau Syafiq,” katanya.

Diminta mengulas sambutan filem yang ditayangkan pada hari raya, Yusof berkata, pengisian sesebuah karya memainkan peranan penting dalam menarik perhatian penonton.

“Waktu tayangan tidak jadi persoalan. Pada hari raya orang masih menonton wayang, begitu juga cuti sekolah.

“Namun jika pengisian filem kurang menarik, macam mana orang nak tonton? Tahun ini hanya ada satu filem ditayangkan pada hari raya namun ia tidak mampu menarik perhatian ramai. “Justeru, saya berharap rakan penerbit lebih fokus terhadap pengisian filem yang bakal diterbitkan,” katanya.

LEAVE A REPLY