trump

WASHINGTON: Kemenangan mengejut calon parti Republikan, Donald Trump dalam pilihan raya presiden Amerika Syarikat pada Rabu mencetuskan tunjuk perasaan di beberapa bandar utama negara itu.

Sebahagian rakyat Amerika khuatir polisi melampau Trump bukan saja akan menjejaskan kestabilan negara itu, tetapi kestabilan dunia secara keseluruhannya.

Di Washington, ratusan penunjuk perasaan berhimpun di hadapan White House dengan mengadakan nyalaan lilin sambil menggelar presiden ke-45 AS itu sebagai sexist dan anti imigran.

Mereka turut membawa pemidang dengan tulisan “kami mempunyai suara!” dan “pendidikan untuk semua!.”

“Rakyat dalam ketakutan,” kata penganjur, Ben Wikler.

“Kami ingin tunjukkan, sewaktu detik hitam melanda negara, kami (rakyat Amerika) tidak berkeseorangan.”

Election-Connecticut-Trump Protest

Selain di Washington, tunjuk perasaan turut diadakan di beberapa bandar lain, mengumpulkan ribuan penunjuk perasaan di Chicago, Philadelphia, Portland, Oregon dan Seattle.

Di New York, penunjuk perasaan berhimpun di Union Square.

Mereka turut membawa sepanduk membidas Trump.

Sebahagian daripada mereka mempertikaikan sistem pilihan raya Amerika Syarikat yang dianggap bermasalah.

Sistem pemilihan Electoral College memerlukan perubahan, kata penunjuk perasaan.

Bermula dengan hanya ratusan penujuk perasaan, ia kemudiaannya beransur meningkat kepada angka ribuan.

Di California, tunjuk perasaan dianjurkan pelajar sekolah menengah, kolej serta universiti.

Sebahagian daripada mereka bertindak keluar bilik darjah.

us-vote-trump

Di  Los Angeles ratusan golongan remaja dan muda berhimpun di City Hall sambil melaungkan slogan “Trump bukan presiden kami!”

Di Oregon, penunjuk perasaan menghalang laluan trafik di Portland, menyebabkan gangguan di dua laluan kereta api.

Bendera Amerika Syarikat turut dibakar sebagai bantahan.

Di Pennsylvania, tunjuk perasaan diadakan oleh pelajar University of Pittsburgh.

Trump seorang ahli perniagaan berjaya menewaskan lawannya dari Parti Demokrat Hillary Rodham Clinton, yang juga bekas Setiausaha Negara AS dalam pemilihan presiden pada Rabu.

Beliau menggantikan Presiden ke-44, Barack Obama.

LEAVE A REPLY